Saya Tidak Salah, Awak Yang Salah!

Selalu sangat saya suka mencari salah orang lain atau salah perkara lain bila berlaku sesuatu keadaan yang tidak menyenangkan.

Kata mereka yang pakar dalam bidang motivasi, hal seperti ini bukan berlaku kepada saya seorang sahaja, malah ramai yang bersikap begitu.

Bila ramai yang bersikap begitu, bukan bermakna saya akan menganggap itu perkara normal dan membiarkannya sahaja. Sikap begitu adalah sikap mazmumah yang wajib bagi saya untuk tidak bersikap sebegitu lagi.

Sememangnya amat jarang seseorang itu menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku pada dirinya. Bukan salah saya!

Situasi yang dicatatkan di bawah adalah situasi biasa. Berlaku di sekitar kita. Mungkin berlaku pada kawan kita, saudara kita atau mungkin kita juga ada mengalaminya.

1 # Kereta kita berlanggar dengan kereta di hadapan. Kita meluru keluar dan marah-marah pada pemandunya, kenapa berhenti tiba-tiba?

Kita tidak marah pun pada diri sendiri, mengapa kita mengekori kereta di hadapan dengan jarak yang terlalu rapat?

2 # Kita mahu cepat ke destinasi yang dituju. Tapi kita terlewat sampai dan kita marah-marah pada lalu lintas yang sesak teruk.

Kita tidak menyalahkan diri sendiri pun, mengapa tidak keluar awal? Sedangkan kita teramat tahu, lalu lintas yang kita akan lalui itu memang terkenal dengan kesesakannya tanpa mengira waktu?

3 # Bila markah ujian menunjukkan kita gagal, kita marah dan mengkritik guru tidak pandai mengajar.

Kita tidak mengkritik diri sendiri, mengapa selepas kelas kita asyik bermain hingga lupa mengulang kaji pelajaran?

4 # … Selain 3 di atas, cuba perhatikan perkara atau situasi yang berlaku di sekeliling kita, di mana orang yang mengalaminya akan marah-marah tanpa memarahi dirinya sendiri.

5 # … Selain 4 di atas, cuba senaraikan peristiwa yang kita sendiri alami. Kita marah pada perkara yang lain dan kita tidak marah pada diri sendiri pun.

Sikap suka menyalahkan orang lain tanpa mahu bertanggungjawab bahawa perkara yang berlaku itu berpunca dari diri sendiri adalah tembok penghalang seseorang untuk terus maju ke hadapan dalam hidupnya.

Satu sebab utama mengapa manusia bersikap suka menyalahkan orang atau perkara lain, seperti kata Brian Tracy dalam bukunya No Excuses ialah kerana itulah jalan yang mudah. Tidak perlu difikir-fikir dengan mendalam kenapa kejadian itu berlaku.

Menyalahkan orang lain menyuburkan sikap negatif iaitu membuat alasan. Bila sesuatu perancangan tidak berjalan seperti yang dirancang, kita akan mencipta alasan untuk ‘membenarkan’ kenapa perancangan itu gagal.

Satu alasan paling mudah ialah menyalahkan orang lain. Inilah yang menjadi penghalang untuk seseorang itu terus bergerak laju dan terus maju ke hadapan.

ALLAH berfirman dalam surah ar-Ra’d dalam sebagian ayat 11 yang bermaksud, “….Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan mereka sendiri…..”

Firman ALLAH ini jelas menerangkan untuk mengubah nasib keadaan diri sendiri, kitalah yang perlu berubah bukan menyalahkan orang lain atau mahukan orang lain yang berubah. Sesungguhnya kita sendiri yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Kita perlu berani mengakuinya.

Bila berani bertanggungjawab pada apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan sendiri, akan muncul perasaan ‘dapat mengawal’. Hanya orang yang dapat mengawal dirinya yang dapat merancang apa yang ingin dilakukan dalam hidupnya.

Dan itulah tangga pertama mencapai kejayaan.

# Nota ini adalah peringatan untuk diri saya dengan niat mahu mengubah diri sendiri. Bila ada yang mendapat manfaat dari nota ini, saya amat bersyukur kepada ALLAH.

Share

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge