Selamat Pengantin Baru

Tanggal 29hb Mac lalu kakak kepada adik kembar aku kahwin. Adik bertunang dahulu daripada kakaknya, tapi belum nampak tarikh lagi untuk bergelar isteri.

Tarikh itu amat bermakna untuk adik aku, hari bersejarah untuk dirinya. Juga tarikh bersejarah untuk aku. Hari pertama kali aku menjadi wali gantikan ayahanda yang sudah mengadap Ilahi.

Dewasa ini, sudah banyak majlis akad nikah dan sanding diupah kepada individu atau syarikat yang mengendalikan pakej perkahwinan. Begitu juga kenduri. Diupah kepada syarikat catering.

Majlis kahwin adik di Felda Kota Gelanggi 2, masih dikendalikan secara gotong royong. Tidak tahu di Felda lain. Perkhidmatan catering ‘tidak berapa laku’ di sini. Tetapi aku rasa ia tidak akan bertahan lama.

Generasi tua asal di Felda semakin hari semakin kurang. Mereka yang masih ada terpaksa mengerah tulang empat kerat yang sudah tidak berdaya untuk mengekalkan tradisi gotong royong. Sementara yang muda, banyak berhijrah keluar. Mereka yang tinggal ‘tidak cukup’ orang untuk kekalkan tradisi ini. Bila sampai ke tahap serius, mungkin tradisi gotong royong ini akan berkubur. Minta dijauhkan tuhan.

Ketika itu tentunya pihak yang mengusahakan pakej perkahwinan dan catering akan muncul bagai cendawan. Banyaknya syarikat catering dan pakej perkahwinan di bandar adalah perkembangan yang normal. Tetapi bila ia muncul dengan banyak di kampung, ia bukan perkembangan yang bagus!

Lain tempat lain tradisi dan tata cara kendurinya.

Di Kampung Luat tempat lahir aku, kerja kendurinya dengan menyembelih lembu, melapah daging, mericih bahan menumis dan memasaknya bermula sehari sebelumnya sampai ke malam. Besok hanya memanas lauk. Makannya daripada tengahari mungkin sampai ke petang.

Kenduri di Gelanggi 2, dibuat semuanya pada hari itu juga. Pasang khemah sahaja dibuat sehari sebelum. Lepas subuh dapat daging segar. Terus dilapah dan dipotong. Kaum ibu mericih bahan-bahan menumis. Sementara menunggu daging dan bahan ricih siap, nasi dimasak dulu. Selepas nasi masak boleh terus memasak gulai kawah. Lauk sampingan seperti kerabu, sayuran dan sebagainya dimasak oleh kaum ibu.

Sebelum tengahari semuanya sudah selesai. Jam 11 pagi lebih sedikit sudah boleh makan. Jamu oengantin pada jam 1petang. Jam 2 petang orang sudah kurang. Jam 3 petang boleh kemas separuh meja. Kalau sempat selepas asar sudah boleh kembalikan khemah dan meja kerusi ke stor simpanan. Kalau tidak sempat pagi besok sahaja.

Sesiapa yang datang selepas jam 2 petang, nasiblah kalau masih ada lauk. Makanlah apa yang ada sahaja.

Terima kasih kepada jiran tetangga yang bergotong royong menjayakan majlis ini. Hanya Allah yang mampu membalas segala penat lelah dan kebaikkan yang dihulur. Semoga tradisi bergotong royong ini akan berkekalan.

Terima kasih kepada sanak saudara yang datang dari jauh meraikan pengantin.

Terima kasih kepada kakak Nazimah, adik Jamaluddin, adik Nor Sakinah, adik Nor Fadhilah (adik kembar pengantin perempuan) dan adik Amiruddin yang berusaha lebih sejak awal untuk majlis ini.

Juga terima kasih untuk adik-adik yang lain, Ahmad Rizal, Razana, Hisamuddin, Saifuddin dan ipar duai.

5-KenduriKahwinDayahKepada adikku Nor Hidayah Bahrom Azhar, jadilah isteri yang solehah. Kepada adik ipar Mohd Nazif Tahir, jadilah suami yang soleh. Binalah keluarga soleh dan solehah yang diredhai Allah. Didoakan keduanya sentiasa dalam lindungan Allah. Bahagia keduanya, selamanya sampai akhir hayat.

Selamat Pengantin Baru!

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge