Selimut Bumi Rosak Kerana Manusia

Bila tidur malam selalunya kita berselimut. Selimut tebal bila sejuk. Bila hawa malam sederhana, selimutnya nipis. Sewaktu panas pun, saya masih berselimut, hanya berselimut kaki. Tidak selesa tidur kalau tidak berselimut. Kalau tiada selimut khusus, kain pelikat pun boleh dijadikan selimut.

Salah satu cara saya mahu cepat kebah daripada demam adalah dengan berselimut tebal-tebal. Masa kecil dulu minta adik-adik selimutkan. Letakkan semua selimut, semua toto, kain baju malah tilam pun diguna hingga membukit dan saya duduk baring didalamnya. Hanya ada ruang untuk bernapas. Beberapa ketika kemudian badan akan berpeluh. Buat dua tiga kali begitu, InSyaAllah demam akan cepat kebah. Selalunya buat begitu bila makan ubat pun tidak berkesan.

Eh! Apa kena mengena selimut waktu tidur dengan tajuk di atas. Dan apa pula selimut bumi?

Itu mukaddimah sahaja. Saya sebenarnya mahu membuat tamsilan bahawa bumi yang kita diami ini pun sebenarnya punya selimut. Malah ada dua selimut!

Tamsilan apa itu dua selimut bumi ini sebenarnya tidak sesuai untuk memberi penerangan apa yang saya ingin sampaikan kepada pengunjung blog ini yang semuanya berfikiran cerdik. Seolah-olah saya merendahkan daya fikir tuan dan puan.

Saya tidak bermaksud merendahkan akal fikir sesiapa.

Akan tetapi saya ingin beritahu bahawa inilah caranya yang saya selalu guna, iaitu dengan membuat tamsilan untuk mudah memberi faham kepada ‘anak-anak kecil yang belum masuk sekolah’, juga sebenarnya kepada ‘bapa anak-anak kecil ini yang masih tidak mengerti’ tentang apa yang ingin saya sampaikan selanjutnya….

Bumi ada dua selimut…

Selimut #1 – adalah lapisan ozon yang berfungsi menapis cahaya UV matahari untuk masuk ‘cukup-cukup’ sahaja ke bumi. Tidak terlebih sampai boleh ‘membakar’ bumi’. Dan tidak terkurang sampai hidupan di bumi ‘tidak cukup zat’ cahaya matahari.

Selimut #2 – ialah lapisan gas di bawah lapisan ozon terutamanya gas Karbon Dioksida yang berfungsi menapis dan menahan haba bumi agar tidak terlepas semuanya ke atmosfera. Haba cahaya matahari siang akan naik semula ke langit pada waktu malam.

Selimut #2 inilah yang menahan haba ini secukup-cukupnya dan melepaskan yang berlebihan agar suhu bumi ini berada pada kadar yang sesuai didiami manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Allah Maha Hebat yang Maha Bijaksana yang mencipta aturan alam bumi ini.

Tahukah kita, aktiviti manusia yang keterlaluan atas alasan pembangunan, kemodenan dan masa depan telah menyebabkan selimut bumi ini semakin buruk dan makin rosak.

Pembalakan yang keterlaluan  hingga buangan karbon dioksida tidak mampu diserap sepenuhnya oleh pokok lantas banyak terbebas ke atmosfera, pembakaran terbuka dalam skala yang besar berleluasa tanpa kawalan hinga asap dan wap panas merosakkan udara. Itu tidak termasuk kebakaran semulajadi. Asap kereta dan kilang dan sebagainya.

Aktiviti yang keterlaluan ini telah menyebabkan selimut #1 iaitu lapisan ozon semakin menipis. Bila lapisan ozon tipis, cahaya UV matahari masuk terlalu banyak ke bumi.

Aktiviti yang keterlaluan ini juga telah menyebabkan selimut #2 iaitu lapisan gas semakin tebal. Patutnya lapisan gas ini menahan haba secukupnya dan yang selebihnya akan dibebaskan ke angkasa luas. Bila lapisan gas tebal, haba panas matahari yang naik ke langit akan ‘tersekat’ dengan banyak.

Suhu dan iklim bumi bergantung kepada (tenaga atau zat) haba matahari yang masuk ke bumi dan keluar. Bila haba masuk bumi akan panas. Bila haba keluar bumi akan sejuk. Panas dan sejuk ini ada kadarnya.

Bila sistem ini terganggu, timbullah kesan yang tidak diingini. Bila kadar panas dan sejuk bumi tidak lagi mengikut aturan kadar normal maka terjadilah sesuatu yang tidak normal.

Panas yang melampau. Sejuk yang melampau. Tempat sejuk semakin panas. Tempat panas kadang-kadang ditimpa salji. Patutnya hujan biasa-biasa sahaja, sekarang hujan boleh membawa banjir yang membinasa. Patutnya kering biasa-biasa sahaja, sekarang kering boleh membawa kontang.

Yang paling ketara, suhu seluruh bumi semakin panas. Di sinilah isu pemanasan global timbul. Data dalam Laporan Panel Antara Kerajaan Untuk Perubahan Cuaca (PICC), menunjukkan antara tahun 1880 hingga 2012, suhu bumi meningkat 0.85 darjah Celcius.

Walaupun peningkatan suhu kurang 1 darjah Celcius, akibatnya banjir semakin kerap, kemarau yang panjang, hutan asyik terbakar, demam denggi meningkat dan sebagainya. Bayangkan jika suhu meningkat lebih tinggi!

Suhu panas juga mencairkan glasier di Kutub Utara dan Kutub Selatan yang meningkatkan paras air laut. Jika air laut semakin meningkat, bandar-bandar di pinggir laut akan dibanjir. Pulau-pulau kecil seperti Maldives mungkin lenyap tenggelam. Mengikut statistik National Geographic, pada tahun 2100, air laut akan meningkat 2.5 hingga 6.5 kaki (0.8 hingga 2 meter).

Suhu bumi sememangnya meningkat secara semulajadi, namun ia meningkat secara cepat akibat tangan-tangan manusia. Semua saintis di dunia setuju, pemanasan global yang berlaku sekarang ini bukan secara semulajadi tetapi dikeranakan aktiviti manusia yang berlebihan.

Semua manusia perlu memainkan peranan untuk mengurangkan pemanasan global ini. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah,-

1# Hanya gunakan alat elektrik yang mempunyai label Kecekapan Tenaga Lima Bintang. Ia mengurangkan pembebasan haba sebanyak 75 peratus berbanding alat elektrik biasa.

2# Amalkan tabiat kitar semula. Asingkan botol, plastik, kertas dan tin. Kalau tidak dapat hantar ke pusat pelupusan, letakkan dengan elok di tempat sampah. Ini memudahkan orang yang mengutip bahan-bahan ini tanpa perlu menyelongkar tong sampah.

3# Tutup suis barangan elektrik yang tidak diguna. Kadang-kadang kita hanya OFFkan TV tanpa menutup suis. Suis TV yang tidak ditutup samalah seperti buka TV walaupun TV diOFFkan.

4# Gunakan penyaman udara bila diperlukan sahaja kerana penyaman udara membebaskan gas klorofluorokarbon, satu daripada gas-gas rumah hijau yang memanaskan bumi.

Ini tanggungjawab saya dan ini tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan bumi yang kita diami ini. Bumi ini bukan kita warisi daripada orang terdahulu tetapi kita pinjam daripada generasi akan datang.

KLIK DI SINI untuk tahu cara menambah pendapatan bulanan, dengan hanya bekerja guna komputer di rumah….

 

Share

15 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge