Siapa Kita Di Bulan Ramadan

Ramadan sering ditafsirkan sebagai bulan orang tidak boleh makan dan minum. Juga dikatakan bulan menahan nafsu. Nafsu berlebihan-lebihan dalam makan minum dan seumpamanya. Juga menahan nafsu yang ‘itu’.

Ramadan boleh ditafsir mengikut kelakuan seseorang dalam mengharungi sebulan Ramadan. Perangai kita menentukannya. Lihatkan perangai kita dan itulah tafsiran kita terhadap Ramadan, walau mulut menafikan.

# Bulan Lapar dan Dahaga

Ada orang yang culas menunaikan solat lima waktu tapi puasa tetap ditunaikan. Dan puasa pula hanya tidak makan dan tidak minum dan tidak melakukan hubungan kelamin pada siang hari.

Selainnya diredah sahaja. Tidak solat, buruk perbuatan dan perkataan dan lain-lain perkara yang mengurangkan pahala amalan puasa tidak diambil berat.

# Bulan Cari Duit

Sudah jadi trend di bulan Ramadan, akan muncul bazar Ramadan di serata tempat. Mereka yang belum Islam juga mengambil kesempatan perniagaan di bulan ini.

Peniaga pula terdiri daripada dua golongan.

Pertamanya mereka yang hanya muncul berniaga di bulan Ramadan. Di bulan lain mereka ada kerjaya lain.

Keduanya mereka yang sumber rezekinya daripada perniagaan. Di bulan lain mereka ada tapak niaga tetap dan di bulan Ramadan rezeki mereka meningkat. Contohnya, setiap hari mereka berniaga 3-4 jenis Air Balang sahaja untuk pelanggan dan pekerja Pasar Chow Kit. Di bulan Ramadan mereka berniaga hampir 10 jenis Air Balang di Pasar Ramadan Jalan Raja Alang.

Ada antara 2 jenis peniaga ini yang ‘pulun’ berniaga ke tahap maksimum hinggakan ‘terlupa’ kepada amal ibadat yang dituntut buat ketika Ramadan. Sampaikan pada pagi raya pun ada yang masih berniaga.

# Bulan Belanja Raya

Inilah masanya berbelanja sakan menyambut raya. Kata orang belanja setahun sekali. Kalau boleh inilah masanya untuk semuanya serba baru. Pakaian baru, perabut baru, langsir dan permaidani baru. Mungkin juga pinggan mangkuk juga mahu serba baru.

Sejak awal hingga akhir Ramadan, aktiviti utama adalah shopping, shopping dan shopping!

# Bulan Kesihatan

Ramadan dimanfaatkan sebagai bulan untuk diet. Ini masa untuk membuang lemak tubuh yang tidak diperlukan. Ini masa untuk mendapatkan bentuk tubuh yang diingini. Bentuk ramping bagi perempuan dan sado bagi lelaki.

Ini juga masanya untuk mula berhenti atau mengurangkan akiviti merokok.

# Bulan Berehat

Ramai yang tidak bermaya di bulan ini. Bulan ini dijadikan alasan untuk lewat bangun dan lewat pergi kerja. Akan tetapi mahu cepat pula pulang.

Ini bulan di mana majikan jadi serba salah. Kalau ditegur atau dimarahi kakitangan yang tidak bermaya ini, nanti akan dianggap tidak prihatin dan tidak bertimbang rasa. Majikan terpaksa menelan situasi ini dengan berat hati.

# Bulan Ibadat

Betapa ramai yang mahu berada dalam kategori ini. Dan hanya sedikit yang berjaya. Ada yang berusaha masuk kategori ini. Ada antara mereka yang berjaya sepenuhnya dan ada yang hanya sekerat jalan.

Kita mahu jadi manusia yang hebat di bulan puasa ini.

Manusia hebat faham maksud sebenar puasa dan bagaimana Ramadan itu harus dimanfaatkan.

Mereka faham, ganjaran pahala amal di bulan Ramadan dibalas berganda oleh Allah. Kerana itu selain tidak makan dan minum, segala perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa akan ditinggalkan.

Manusia hebat banyak membaca al-Quran, tidak tercicir Tarawih, berusaha solat lima waktu berjemaah dan mendirikan qiamullail dan amalan yang dianjurkan banyak berbuat pada Ramadan ini.

Walau berusaha menambah pahala dengan banyak beribadat, manusia hebat faham, semua ibadat itu tidak boleh menjejaskan produktiviti kerja seharian kerana mereka tahu Rasulullah dan para sahabat mampu berperang ketika Ramadan.

Dan akhir sekali manusia hebat tidak berlebih-lebih atau melampau ketika menyambut Aidilfitri.

Kredit: olahan semula daripada tulisan Tuan Asri Tuan Hussein, Harian Metro, 04-06-2016

Share

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge