Siapa Nama Awak?

Nama saya Ahmad Yani bin Bahrom Azhar. Kawan-kawan panggil saya madyani atau matyani. Tidak kisahlah apa yang mereka panggil saya walau saya suka dipanggil ahmadyani.

Dan apa pula nama anda?

Tanpa nama manusia bukan siapa-siapa. Pernahkah anda jumpa manusia tanpa nama? Dalam komik Pedang Setiawan ada pendekar tanpa nama. Kehidupan kita bukan komik. Manusia perlukan nama.

Daripada nama, kita tahu dia itu lelaki atau perempuan.

Kita akan terkejut bila mengingatkan Mazlan itu nama lelaki, tetapi digunakan untuk nama perempuan. Nama yang ternama juga dalam bidang cakrawala atau angkasa lepas.

Itulah satu-satunya nama lelaki yang digunakan oleh perempuan yang saya tahu. Anda tahu siapa lelaki yang namanya perempuan dan perempuan yang namanya lelaki?

Daripada nama, kita tahu dia itu Islam atau bukan.

Sebab itu disyorkan mereka yang bukan Islam menukar nama setelah masuk Islam atau sekurang-kurang tambah satu nama yang membolehkan orang tahu yang dia telah Islam.

Menukar nama bukanlah wajib. Kekalkan nama lama tidak mengapa asalkan maksud nama itu baik. Hanya sekadar untuk mengelak rasa curiga bila tiba-tiba si India Anthony beri salam kepada kita. Bila Khairul Anthony yang beri salam, senanglah hati mahu menjawabnya.

Daripada nama, kita harapkan kehidupan yang dilalui sebaik maksud nama yang kita sandang.

Jadi bersyukur dan berterima kasih selalu kepada ibu dan ayah yang memberikan nama yang baik-baik kepada kita. Dan sebagai ayah dan ibu, berilah nama yang baik-baik kepada anak yang Allah titipkan kepada kita.

Dan sebagai individu yang mempunyai nama yang baik, maka jalanilah kehidupan ini dengan terhormat. Sesuai dengan nama yang kita sandang. Lebih-lebih lagi bila nama kita itu senama dengan individu yang mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.

Daripada nama, kita akan dipanggil oleh Allah di akhirat nanti dengan nama sebenar kita. Jadi bersyukur sekali lagi bila kita mempunyai nama yang baik dan sentiasa beringat untuk memberi nama yang baik-baik kepada anak keturunan kita.

Pernah kita selidik asal usul nama yang diberi oleh ibu bapa kita. Mungkin ada kisah yang menarik di sebaliknya?

Saya tidak tahu. Dan saya tidak teringat untuk bertanya kepada ayah semasa hidupnya. Emak pula tidak tahu, hanya sekadar angguk keputusan nama yang dibuat suaminya. Itulah sikap isteri dulu-dulu. Ikut dan yakin keputusan suami. Tidak membantah.

Saya hanya boleh mereka-reka cerita di sebalik asal usul nama saya.

Dulunya ayah saya bersekolah agama pondok. Buku-buku agama yang menjadi bahan bacaan banyak yang diambil dari negara seberang. Bukan buku agama sahaja, buku lain pun banyak daripada Indonesia.

Tidak banyak buku agama yang dicetak di Malaysia. Hanya sekarang penerbitan buku amat rancak di Malaysia.

Mungkin kerana banyak membaca buku agama daripada Indonesia, ayah jadi terpikat dengan nama Ahmad Yani yang banyak diguna oleh orang seberang. Lebih-lebih lagi bila nama Ahmad Yani menjadi milik Jenderal tersohor di Indonesia yang mati mempertahan negaranya daripada dikuasai komunis! Jenderal Ahmad Yani.

Jenderal Ahmad Yani

Jenderal Ahmad Yani

Ya, kadang-kadang ramai yang ingatkan saya adalah orang seberang!

Tuan Ahmad Yani Abd Manaf, orang kuat di belakang Majalah i, terbitan KarangKraf, tersenyum lebar bila bergambar di sebelah tanda nama Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad yani di Indonesia. Nanti saya juga mahu bergambar di situ.

Kerana nama Ahmad Yani dimiliki Jenderal tersohor di Indonesia, juga dimiliki oleh ketua parti politik yang berpengaruh juga di sana. Ada juga tokoh muda politik di Selangor yang bernama Ahmad Yani. Tentunya Ahmad yani bin Abd Manaf, pengendali Majalah i.

Dan saya percaya ramai lagi yang bernama Ahmad Yani di Malaysia ini dan terlebih ramai di Indonesia, maka saya amat-amat bersyukur bila saya sempat mendaftarkan domain ahmadyani.com menjadi milik saya.

Domain Ahmad Yani DotCom bagi saya adalah sesuatu yang amat berharga.

Share

19 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge