Solat, Telefon Bimbit Dan Justin Bieber!

Lokasi – Masjid Kg.Baru Kuala Lumpur
Masa – Bila-bila masa

Sebelum ini di dinding tempat mengambil wudhuk, di pintu masuk dan di dua tiga tempat strategic ditampal dengan pelekat bertulis “ Tiada Panggilan Yang Lebih Utama daripada panggilan Allah” yang ditaja oleh syarikat telekomunikasi terkenal.

Aku sudah tidak nampak pelekat ini. Lebih-lebih lagi Masjid Kg.Baru sekarang ini sedang diubah suai. Tetapi berbulan-bulan sebelum diubah suai pun aku sudah tidak nampak. Di masjid lain pun aku tidak nampak. Mungkin ada, Cuma agaknya aku yang tidak perasan pelekat itu ada.

Lokasi – Surau Jumaat Balai Polis Dang Wangi
Masa – Solat Jumaat

Sebelum angkat takbir menunaikan solat Jumaat, imam mengingatkan makmum supaya mematikan telefon bimbit. Ketika dalam khutbah sebelum itu pun, khatib turut juga mengingatkan makmun supaya mematikan telefon bimbit.

Ingatan untuk mematikan telefon bimbit seolah-olahnya sudah menjadi ‘sunat’ sama sunnahnya imam mengingatkan makmum supaya memenuh dan meluruskan saf barisan solat.

Aku tidak tahu sejak bila khatib dan imam mula mengingatkan makmun supaya mematikan telefon bimbit ini. Mungkin ia bermula sejak muzik dan lagu boleh dijadikan nada dering.

Lokasi – Surau Lelaki Medan Mara, Kuala Lumpur
Masa – Solat Zohor Berjemaah

Baharu selesai rakaat pertama dan sekarang dalam rakaat kedua, Justin Bieber tiba-tiba menyanyikan lagu yang membuatkan dia terkenal dari dalam poket salah seorang ahli jemaah.

Khusyuk ahli jemaah solat ‘terbang’ entah ke mana kerana telinga diasak volume suara Justin Bieber yang dipasang penuh. Orang yang menelefon tidak puas hati kerana telefon tidak diangkat dan dia terus mendail. Dan Justin Bieber pun terus menyanyi sampai usai solat jemaah.

Selesai solat pun Justin Bieber masih menyanyi. Ahli jemaah memandang empunya telefon. Tanpa ada rasa bersalah untuk meminta maaf, selamba sahaja dia bangkit menjawab telefon sambil keluar dari surau. Dia tidak pergi jauh, hanya berdiri dekat pintu surau yang terbuka menjawab telefon.

Ketika solat tadi, ahli jemaah terganggu dengan nyanyian Justin Bieber. Sekarang ketika berdoa, ahli jemaah terganggu dengan herdikan marah empunya telefon kepada pemanggil yang menelefon ketika dia sedang solat. Macamlah orang yang mendail itu tahu dia sedang solat dan sengaja menelefon untuk mengganggu solatnya!

Lokasi – Masjid dan surau di mana sahaja
Masa – Ketika berada di dalamnya untuk solat

Aku tidak pernah bawa telefon bimbit bila pergi ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Aku tinggalkan di tempat kerja atau di rumah. Aku punya alasan untuk tidak membawanya.

Alasan #1 – panggilan Allah itu lebih penting daripada panggilan sesiapa pun.

Alasan #2 – yang pastinya aku tidak boleh menjawab bila telefon berbunyi semasa aku sedang solat walau panggilan itu panggilan yang amat penting.

Akan tetapi bila kita bersiar-siar makan angin dan berhenti untuk solat, tentulah kita membawa sekali telefon ke dalam masjid atau surau. Mana boleh tinggalkan di tempat kasut! Maka saya suka mengambil tindakan sebegini..

Tindakan #1 – letak telefon dalam bag sandang yang selalu saya bawa bukan letak di depan tempat sujud atau dalam poket. Bila telefon berbunyi ia tidak berbunyi kuat kerana bag yang tertutup.

Tindakan #2 – tindakan normal ialah mematikan telefon atau merendahkan nada dering.

Kadang-kadang saya terlupa mematikan atau merendahkan nada dering. Untuk mengatasi masalah terlupa ini saya hanya menggunakan nada dering biasa. Bunyi loceng. Tidak pernah sekalipun saya memasukkan muzik atau lagu sebagai nada dering pada telefon bimbit saya.

Walaupun bunyi nada dering yang biasa, ia tetap mengganggu orang yang sedang solat bila ia berbunyi. Tetapi bagi saya, nada dering yang biasa lebih baik daripada orang solat diganggu dengan nyanyian Justin Bieber!

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge