Tidak Ada Satu Buku Yang Boleh Membawa Kita Kepada Kejayaan

Penulis buku motivasi mahu pembaca bukunya dapat membentuk diri menuju kejayaan. Penulis buku kewangan mahu pembaca dapat menguruskan kewangan mereka dan menjadikan diri mereka bebas kewangan.

Begitulah penulis buku yang lain. Mereka mahukan pembaca berjaya mengikut idea buku yang mereka tulis. Tajuk di atas adalah kontroversi jika bersandarkan apa yang dimahu penulis terhadap pembaca buku mereka.

Hakikatnya itulah yang sebenarnya!

Adam Khoo menyatakan dalam bukunya yang ditulis bersama Stuart Tan, Master Your Mind, Design Your Destiny, edisi Bahasa Melayu erbitan PTS Millenia tahun 2008 dengan tajuk Kuasai Minda, Bina Masa Depan Anda;

“Tidak ada buku yang mampu membawa kita mencapai kejayaan melainkan kita sendiri yang berusaha mencapainya.”

Idea yang terkandung dalam sebuah buku tidak dapat merubah hidup kita. Kita hanya dapat berubah bila kita menggunakan idea buku itu dalam kehidupan kita. Seperti kata Anthony Robbins, “Ilmu hanya potensi. Ia hanya berkuasa bila digunakan.” Semudah itu!

Betulkah semudah itu? Tidak! Tidak semudah itu. Ia bergantung kepada tujuan anda membaca dan penerimaan anda terhadap ilmu atau idea buku yang anda baca itu.

Ada 4 sikap manusia bila membaca buku;

Sikap #1
Awal-awal lagi mereka menganggap buku itu tidak berkesan pada mereka. Mereka memberi alasan, banyak buku motivasi yang telah dibaca dan satu pun tidak membawa kesan apa-apa. Dan buku yang mereka sedang baca sekarang tentunya tidak akan berkesan juga.

Sikap #2
Mahu tengok dahulu apa yang menarik. Mereka tidak baca keseluruhan buku, hanya mencari isi-isi yang menarik sahaja. Bahagian yang menyarankan untuk berbuat atau bertindak tidak diambil perhatian.

Bagi mereka ini, membaca hanya sebagai hiburan. Hanya untuk memenuhi masa lapang. Mereka tahu idea-idea berguna tapi mereka tidak mendapat apa-apa manfaat darinya.

Sikap #3
Mahu mencuba dulu. Mereka buat beberapa latihan yang disarankan penulis buku. Bukan semua latihan, hanya yang menarik dan menyeronokkan sahaja. Selang beberapa lama, latihan yang dibuat sambil lewa itu ditinggalkan.

Mereka ini sama sahaja dengan orang yang bersikap #2 iaitu tidak mendapat apa-apa manfaat dari latihan yang dibuat.

Sikap #4
Mereka membeli dan membaca buku dengan niat mahu membuat perubahan hidup. Mereka memberikan seratus peratus perhatian pada pembacaan mereka. Dan mereka melakukan yang sepatutnya dibuat oleh orang yang mahu berjaya dalam hidupnya,

  1. Setiap isi buku itu dibaca dengan teliti tanpa melompat dan diulang baca.
  2. Point-point penting digaris atau dicatat dalam buku berasingan.
  3. Setiap latihan yang diberi akan dibuat dengan bersungguh hati.
  4. Idea-idea yang terkandung dalam buku itu diamalkan dalam setiap aspek kehidupan mereka.
  5. Mereka mungkin menggabungkan latihan dan idea dari buku lain yang berkaitan.

Saya tidak bersikap #1 terhadap buku. Bagaimanapun sesekali bila mood tidak baik, akan ada sikap #2 dan #3 dalam diri bila membaca buku. Bagaimana dengan anda?

Saya mengajak pembaca bersikap #4 bila membeli dan membaca buku. Hanya orang yang bersikap #4 dapat mengubah hidupnya.

Share

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge