Tidak Ambil Sedekah!

Sebaik aku dan kawanku keluar dari masjid, terpandang sebungkus besar plastik di pintu masjid yang penuh dengan nasi siap bungkus.

Kawan aku mengambilnya satu. Dalam bersyukur dia gembira kerana dapat menjimatkan duit makan hari itu. Aku menolaknya bila dia ingin ambilkan satu untuk aku.

Rakyat Malaysia ramai yang bersikap pemurah. Ada sahaja sedekah yang diletakkan di masjid tempat aku selalu berjemaah itu. Sedekah untuk sesiapa yang perlukannya. Ada nasi bungkus, bubur kacang, kuih muih, mee goreng atau buah-buahan.

Kawan aku itu tidak pernah melepaskan peluang untuk mengambilnya bagi menjimatkan duit makannya. Dan setiap kali itu juga aku menolaknya. Sekali aku menolak dia buat tidak kesah. Dua kali tolak dia hairan dengan sikap aku. Kali ketiga dia mula bertanya…kenapa?

Orang yang kenal aku, yang tahu aku hampir tidak pernah ambil apa-apa makanan sedekah ‘menuduh’ aku bodoh sombong! Bodoh kerana melepaskan peluang berjimat duit makan. Sombong tidak mahu makan sedekah makanan, sepertinya aku menganggap makanan itu berkelas rendah.

Sememangnya aku tidak pernah bercerita pada sesiapa kenapa aku tidak ‘usik’ sedekah makanan yang diletakkan di masjid kecuali sebutir dua pisang pada hari jumaat. Dan aku mahu bercerita sekarang pada nota dalam blog ini.

Pada zaman dahulu. Zaman dahulu ini bukan zaman dinosor. Zaman dahulu itu ialah masa yang aku sudah tidak ingat bila! Aku selalu ambil sedekah makanan di masjid. Dua sebab. Kerana boleh berjimat duit makan dan meraikan serta menghargai pemberian orang.

Hingga pada satu hari…

Di luar masjid ada beberapa orang ‘tiada kerja tiada gaji tiada rumah’ berkumpul di pintu masjid kerana hari itu memang diketahui, ada orang akan meletakkan sedekah makanan di masjid.

Selesai solat, aku dan jemaah yang lain dengan mereka yang ‘tiada kerja tiada gaji tiada rumah’ sama-sama mengambil nasi siap bungkus. Seorang lelaki berusaha memanggil rakannya yang lambat bertindak dan meminta rakannya itu memanggil rakan-rakan yang lain daripada kalangan mereka yang ‘tiada kerja tiada gaji tiada rumah’ untuk cepat mengambil makanan. Nanti kehabisan!

Aku makan di beranda masjid sahaja, tidak bawa balik ke rumah seperti biasa. Lelaki tadi juga dan rakan-rakannya makan berdekatan. Kemudian ada rakan-rakan lain yang baru sampai, meninjau-ninjau kalau masih ada makanan. Nasi siap bungkus sudah habis diambil orang! Mendadak mereka mengeluh, kesal diri kerana lambat datang. Kemungkinan mereka akan kelaparan hari itu.

Lelaki tadi marah rakannya yang lambat datang. Sudah tahu ada orang akan sedekah makanan hari ini, kenapa masih datang lambat? Walau marah-marah, lelaki tadi mengajak rakannya untuk sama-sama makan dengan. Begitu juga dengan yang lain. Satu bungkus mereka makan dua orang.

Oh Tuhan! Aku tidak tahu ‘apa’ yang tiba-tiba menyergap dalam hati. Aku rasakan seperti aku ini telah merampas makanan orang yang ‘tiada kerja tiada gaji tiada rumah’ dari tangan mereka hanya semata-mata mahu menjimatkan wang makan hari itu!

Aku tidak lalu makan. Seperti ada pasir masuk dalam kerongkong. Tapi aku sumbat juga untuk habiskannya. Tidak boleh membazir pemberian orang.

Dalam pada itu timbul persoalan dan fikiran aku… orang yang sedekahkan makanan ini, apakah dia sedekahkan untuk orang seperti aku yang ada kerja ada gaji ada tempat tinggal atau dia mahu sedekahkan pada mereka yang tiada kerja tiada gaji dan tiada tempat tinggal?

Makanan ini diletakkan di masjid, tentu dengan niat untuk sesiapa sahaja. Tetapi persoalan itu telah mengganggu hati dan perasaan aku.

Sejak hari itulah aku ‘bersumpah’ untuk menahan diri dari mengambil apa-apa makanan sedekah baik di masjid atau di mana-mana. Akan tetapi aku tidak menolak bila sedekah itu dibuat cara kenduri. Masak 2-3 periuk besar dan sedekahkan untuk orang makan kerana aku anggap makanan itu banyak.

Makanan yang siap dibungkus selalunya sedikit. Bila aku ambilnya seperti aku telah mengambil hak orang lain yang benar-benar perlukan makanan yang sedikit itu.

Setiap kali keluar dari masjid atau lalu di mana-mana kemudian ternampak ada orang menghulur bungkusan makanan sedekah, aku akan mengelaknya dengan berjalan di laluan lain.

Kerana bila aku lalu di hadapannya, dia akan menyua makanan itu di hadapan aku dan aku mungkin dianggap menghinanya bila tidak mahu mengambil makanan tersebut.

Kawan! Bila kamu nampak tidak ambil sedekah makanan pemberian orang, ketahuilah aku punya alasan yang kuat untuk menolaknya.

# Nota ini untuk kawan-kawan yang sering bertanya akan sikap aku yang mereka anggap pelik, bodoh dan sombong!

Nota – maksud tiada kerja tiada gaji tiada rumah ialah mereka yang gelandangan

Share

One comment

  • Izzuddin Fauzi

    Setiap orang ada pengalaman tersendiri 🙂 Di tempat sy jika tidak diambil – banyak berlebih2 sehingga basi – sampai satu tahap pihak masjid minta makanan tersebut dibuat makan secara jamuan.

    *berlebih bukan kerana tiada jemaah tapi ramai yang tak ambil dan terus pulang
    Izzuddin Fauzi recently posted..Buka Kedai Tapi OnlineMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge