Tolak Makanan Sunnah

Entah kenapa timbul rasa suka yang amat sangat akan rancangan berbentuk masakan. Di Astro aku suka tonton Food Network Asia dan Asian Food Channel.

Bukan suka pada semuanya. Hanya suka rancangan yang berbentuk dokumentari dan pengembaraan. Mengembara melihat tempat makan, ladang tempat bahan mentah, sejarah makanan setempat, budaya makanan sesuatu daerah atau negara dan sebagainya. Aku tidak suka rancangan masakan yang hanya duduk di dapur dari awal sampai akhir. Masak resepi 1, kemudian resepi 2, kemudian 3 dan rancangan pun habis! Kecuali yang penuh dengan tip dan fakta.

Minat pada rancangan masakan ini, belum menimbulkan minat aku pada masak memasak atau menimbulkan minat untuk ‘jalan-jalan cari tempat makan yang sedap’. Bila ada makanan yang sedap, aku akan makan sunguh-sungguh. Tapi belum sampai ke tahap untuk mencarinya di merata ceruk!

Menonton rancangan ini ada gunanya juga. Sekurang-kurangnya Maggi yang dimasak tidaklah ‘kosong’ dan ‘tawar’ sahaja. Dan bila jemu makan di kedai atau mahu jimat duit, apa yang ‘dicampak’ dalam kuali atau periuk boleh dipuji juga hasilnya. Dan aku tidak ‘menggaru’ kepala bila melihat apa juga resepi yang ada.

Menonton rancangan masakan ini membuatkan aku tidak habis berfikir tentang apa yang ‘dikecoh’kan tentang makanan sunnah!

Sekarang ini ramai usahawan ‘berlumba-lumba’ mengusahakan apa yang didakwa makanan sunnah. Produk-produk sebegini berlambak dalam pasaran. Kadang-kadang promosi yang dilakukan sampai ‘tidak masuk akal’. Bayangkan orang yang sudah lama lumpuh boleh sembuh dengan makanan ini!

Mungkin kerana promosi yang tidak masuk akal ini, ada seseorang yang ‘ada nama’ juga mahu kerajaan memantau produk-produk yang dikatakan makanan sunnah ini. Mungkin selepas ini produk yang mahu diletakan label sebagai makanan sunnah memerlukan lasen dari kerajaan. Perkara ini belum lagi luas diperdebatkan.

Hampir semua rakyat Malaysia yang mengambil apa yang dikata makanan sunnah ini hanya sebagai makanan tambahan sahaja. Di dalam menu makanan utama rakyat Malaysia, kita tidak menggunakan bahan-bahan ini sebagai bahan memasak.

Ia amat berbeza dengan apa yang orang putih masak dan makan ( berdasarkan apa yang aku lihat dalam rancangan masakan ini ). Orang barat ini mungkin belajar memasak dengan orang Asia Tengah, banyak menggunakan bahan-bahan yang telah ‘disahkan’ kebaikannya dalam al Quran dan hadis nabi seperti buah zaitun, buah tin, kurma, madu, kismis, habbatus sauda dan seumpamanya.

Ada satu chef menggoreng kacang panjang. Sama seperti mak aku masak. Tumis bawang, letak sedikit apa-apa daging atau ikan bilis atau udang dan bahan perasa. Siap! Begitu juga chef orang putih ini masak. Bezanya dia menggunakan minyak zaitun dan menambah jintan hitam ( habbatus sauda ).

Dalam makanan utama mereka, salad dan pencuci mulut akan ada bahan-bahan ini. Paling tidak pun minyak zaitun. Apa bahan makanan kita?

Prof Di Raja Ungku Aziz ada berkata, makanan yang membezakan fizikal tubuh orang Melayu Asia dengan orang Arab dan Eropah. Makanan juga yang membezakan taraf akal seseorang. Untuk membuatkan fizikal orang Melayu kukuh, kuat dan bertenaga, corak makanan perlu diubah. Untuk membuatkan akal orang melayu mudah menerima ilmu dan cerdik berfikir, corak makanan orang Melayu perlu diubah.

Mungkin ada yang berfikir, kita sudah ketinggalan jauh. Akan tetapi kita sebenarnya masih sempat bertindak untuk anak keturunan kita. Dan sebenarnya juga kita masih sempat bertindak untuk diri sendiri dengan baki umur yang ada. Berapa umur Prof Di Raja Ungku Aziz? Dengan umur yang sebegitu, beliau kekal mengamalkan bahan-bahan ini dalam menu hariannya.

Kita pun patut begitu. Bahan-bahan yang dianggap makanan sunnah ini tidak harus dianggap makanan tambahan. Ia patut ada dalam makanan utama dan makanan harian kita.

Contohnya bila masak sup menggunakan sup bunjut siap yang dijual di kedai. Mungkin kita patut menambah dalam sup ini secubit jintan hitam ( habbatus sauda ). Ramai yang kata ia menambah sedap sup yang di masak. Dan apa salahnya dalam sup daging yang kita masak, kita tambah sebiji dua buah zaitun jeruk yang diracik halus. Apakah ia akan membuatkan sup daging kita rosak atau tidak sedap?

Kita sebagai orang Islam bangga dengan bahan-bahan makanan terbaik yang disebut dalam al Quran dan Hadis Nabi ini. Akan tetapi nampaknya orang bukan Islam yang paling banyak menggunakannya. Kita bangga tapi tindakan kita seolah-olah kita menolak makanan sunnah!

Share

26 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge