Yang Baik Mati Cepat, Yang Jahat Mati Lambat

Benarkah kenyataan seperti tajuk di atas?

Bila mendengar adanya kematian. Bila menziarahi pengkebumian dan kita tahu mereka yang meninggal itu insan yang kita anggap orang baik-baik. Baik akhlak dan baik tugasnya…seperti pendakwah contohnya. Apa perasaan kita?

Selalu tertanya-tanya dalam hati, kenapalah orang yang baik-baik meninggal cepat, orang yang jahat lambat pula matinya.

Bila pertanyaan ini timbul dalam hati, cepat beristighfar pada ALLAH. Takut pertanyaan hati ini di’cop’ sebagai mempertikaikan takdir ALLAH pula. Kerana hak ALLAH untuk menghidupkan dan mematikan insan.

Namun hakikat yang pertanyaan ini akan timbul dalam hati banyak orang tidak dapat dihalang.

Sesungguhnya tidak ada sesiapa tahu kenapa yang baik mati cepat…yang jahat mati lambat (sekiranya fakta ini benar) kerana semua itu dalam pengetahuan ALLAH. Dan ia mungkin tidak benar, ia hanya perasaan kita sahaja.

Ada pepatah Cina yang boleh diguna untuk menggambarkan bahawa kenyataan seperti tajuk di atas adalah tidak benar. Manusia menghadapi kematian yang sama. Ada orang baik meninggal cepat, ada orang jahat mati cepat. Banyak orang baik meninggal lambat dan banyak juga orang jahat mati lambat.

Pepatah Cina ini berbunyi…Untuk Mengenal Kebaikan Seribu Tahun Belum Cukup Tetapi Untuk Mengenal Kejahatan Satu Hari Sudah Terlalu Lama.

Fitrah semulajadi manusia suka pada kebaikan. Kalau hidup satu ribu tahun pun, manusia belum puas menikmati kebaikan. Sebab itu orang baik dirasakan meninggal cepat kerana orang hidup belum puas menikmati kebaikan yang dibuatnya. Bila menikmati kebaikan, semua orang mahukannya lagi…dan lagi…dan lagi…

Fitrah semulajadi manusia juga tidak suka pada kejahatan. Manusia jemu dan benci pada kejahatan. Merasakan kejahatan untuk satu hari sudah dirasakan terlalu lama. Sebab itu orang jahat dirasakan lambat mati. Bukan kerana umur mereka panjang tapi kejahatan mereka itu dirasakan ‘panjang’ oleh orang yang masih hidup. Satu hari kejahatan pun sudah cukup meresahkan.

Kematian akan menjemput sesiapa sahaja. Orang baik mati, orang jahat juga akan mati. Pilihan kita adalah untuk mati sebagai orang baik atau mati sebagai orang jahat.

Bagaimana akhir hidup kita adalah ketentuan ALLAH bukan ketentuan kita. Namun Imam Ghazali ada berkata;

“Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita.”

Kita diberi pilihan untuk hidup sebagai mana cara yang kita mahu. Begitu juga kita diberi pilihan bagaimana cara akhir hidup kita nanti

Share

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge