Bagaimana Seorang Ibu Mendidik Anak Erti Sedekah

Ini cerita tentang sedekah yang memberikan inspirasi. Begini ceritanya,

Ada seorang anak kecil yang  memberitahu ibunya bahawa dia mahu memiliki barang permainan yang berharga RM140.

Ibu ini sayang anaknya. Akan tetapi sebagai ibu tunggal yang mencari nafkah sendiri dan hidup serba kekurangan, untuk keluarkan RM140 bagi membeli barang permainan bukan boleh ditunaikan serta merta.

Jadi ibu ini menyuruh si anak menabung separuh dari belanja sekolahnya.

Belanja sekolah anak ini tidak seberapa. Hanya RM1 dapat dikumpul seminggu. Ini bermakna, si anak kena tunggu sehingga 140 minggu untuk mendapatkan barang permainannya.

Bertahun juga untuk mendapatkan mainan kesukaannya! Keinginan si anak begitu kuat. Meskipun lama, si anak tetap menabung.

Pada minggu ke 20, simpanan anak ini adalah RM20. Ada 120 minggu lagi untuk cukupkan RM140.

Namun tanpa si anak ini menyangka, si ibu menyuruh si anak kecil membeli barang-barang dapur di kedai berhampiran menggunakan RM20 duit simpanannya.

Anak kecil itu menyuarakan rasa kelirunya pada si ibu kerana si ibu yang menyuruh menabung untuk membeli barang permainan dan sekarang si ibu mahu menggunakan duit itu untuk membeli barang dapur pula!

Si ibu hanya berkata, “nanti kamu akan faham apa yang ibu buat.” Anak kecil itu adalah anak yang taat. Tanpa membantah, dia menurut perintah ibunya.

Dia pergi membeli barang dapur yang diminta ibunya menggunakan RM20 hasil tabungannya. Kemudian si ibu memasak barang-barang dapur yang dibeli itu. Selepas itu si ibu menyuruh si anak kecil membawa masakan itu ke surau untuk dijamu pada mereka yang datang berjemaah di surau.

Ahli jemaah surau tersentuh hati pada si anak kecil yang bersusah-susah membawa hidangan ke surau. Lantas dengan ikhlas setiap seorang dari mereka memberikan sedikit sumbangan dan anak kecil itu terkejut bila dikira-kira, duit sumbangan itu berjumlah RM70.

RM70 itu disimpan dalam tabung, sambil itu si ibu mahu anak kecil terus menabung separuh dari belanja sekolahnya seperti biasa.

Pada minggu ke 20 ketika duit tabungan menjadi RM20, si ibu membuat perkara yang sama. RM20 itu digunakan untuk membeli barang-barang dapur, kemudiannya dimasak dan sekali lagi anak kecil itu membawanya ke surau. Ahli jemaah surau menghulur sumbangan padanya dan jumlahnya sama seperti dahulu iaitu RM70.

Bila dicampur RM70 dahulu dan RM70 sekarang, jumlahnya ialah RM140. Anak kecil itu tidak perlu menunggu 140 minggu untuk mendapatkan RM140. Dalam 40 minggu sahaja dia sudah memiliki RM140 hasil ketegasan ibunya menggunakan RM40 duit tabungannya untuk didermakan.

Si ibu hanya bertindak tanpa berkata apa-apa, namun si anak kecil yang cerdik itu sudah mula mengerti bahawa ibunya sedang mengajarnya erti sedekah. Sedekah bukan mengurangkan, malah ia menambahkan.

tip sedekah

Sekarang anak kecil itu sudah memiliki RM140 dalam masa 40 minggu sahaja tanpa perlu menunggu 140 minggu.

Inilah hasil yang anak kecil itu dapat bila si ibu ‘memaksa’ dia bersedekah RM40 duit yang ditabungnya.

Pada mulanya anak kecil itu keliru bila si ibu mahu menggunakan duit yang ditabungnya untuk membeli barang dapur dan memasaknya. Kemudian masakan itu disedekahkan pada jemaah surau, sedangkan sebelum itu ibunyalah yang menyuruh dia menabung kalau mahu memiliki barang permainan yang diidamkannya.

Namun bila ibunya ‘memaksa’ dia bersedekah, sedekah itu telah mendatangkan hasil yang tidak disangka-sangka. Anak kecil itu mendapat pulangan sedekah sebanyak RM140.

Anak kecil itu sudah boleh membeli barang permainanya dengan duit RM140 yang ada.

Namun belian itu ditanguhkan buat sementara waktu kerana dua orang sepupunya akan berkhatan. Anak kecil itu tidak mahu dua sepupunya itu ‘bersedih’ tidak dapat bermain barang permainan bersamanya dalam tempoh belum sembuh berkhatan.

Anak kecil itu berkira-kira mahu membeli barang permainan setelah dua sepupunya sembuh luka berkhatan. Bolehlah mereka bermain bersama-sama.

Salah seorang bapa saudara mereka datang dari jauh menghadiri majlis berkhatan itu. Dalam perjalanan dia membeli 2 hadiah untuk dua sepupu anak kecil itu yang berkhatan, namun si ibu saudara meminta membeli 3 hadiah kerana si ibu saudara teringatkan anak kecil itu.

Takdir tuhan menentukan hadiah yang dibeli oleh bapa saudara itu adalah barang permainan yang sangat diidamkan oleh anak kecil itu selama ini.

Sekarang anak kecil itu telah memiliki permainan idamannya tanpa perlu mengeluarkan RM140. Sedekah RM40 yang diberi dalam bentuk makanan dahulu, bukan sahaja dibalas oleh ALLAH dengan RM140 malah dibalas dengan barang permainan tanpa mengeluarkan wang satu sen pun.

Anak kecil ini sudah besar dan kini menjadi seorang pendakwah yang mengajar agama di merata tempat. Setiap kali dia bercakap tentang sedekah, dia akan menceritakan kisah dirinya masa kecil dahulu sebagai contoh.

Beberapa tip yang diberi si anak kecil yang kini sudah besar menjadi pendakwah untuk memastikan sedekah kita mendapat pahala berganda dari ALLAH;

1 # Berikan barang baru, bukan barang lama yang kita tidak mahukan lagi.

2 # Barang itu sesuatu yang suka dipakai atau diguna oleh penerima. Jangan sedekah sesuatu yang kita sendiri tidak suka pakai atau guna, contohnya pakaian lusuh atau koyak.

3 # Berikan barang yang boleh diguna serta merta, bukan barang rosak yang perlu dibaiki penerima sebelum boleh digunakan.

4 # Sedekahkan barang halal bukan yang haram atau syubahah.

5 # Jangan mengungkit-ungkit setiap pemberian kita. Derma tanpa menginginkan pujian dan sanjungan. Seperti tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu.

Si anak kecil ini adalah Jam’an Nurkhatib Mansur yang lebih dikenali ramai sebagai Ustaz Yusuf Mansur.

===

Mungkin anda perlukan ini:

[+] RUJUKAN LENGKAP BAGAIMANA MEMULAKAN BISNES DI SHOPEE. CARA MUDAH UNTUK MENG’ONLINE’KAN BISNES ANDA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge