Ilmu Hitam Menjadi Punca Perniagaan Tidak Maju

Seorang peniaga kedai makan syak yang kedainya telah ‘kena buatan orang’. Kedainya telah disihir dengan ilmu hitam!

Kerana sihir itu, kedainya ‘tidak kelihatan’ pada pandangan pelanggan. Pelanggan yang lalu di depan kedainya tidak masuk singgah kerana mereka tidak nampak kedainya.

Jadi peniaga ini telah mengadu kepada seorang ustaz yang pandai dalam ilmu pengubatan alternatif. Pandai ilmu perubatan Islam. Sekaligus dikira pandai menghalau hantu syaitan penyebar sihir.

Peniaga ini minta tolong pada ustaz untuk ‘memulihkan’ kedainya daripada ‘buatan orang.

Ustaz ini bersetuju. Pada hari yang dijanjikan, ustaz ini pun datang.

“Saya pun tak nampak kedai tuan,” kata si ustaz sambil bercerita kesukarannya untuk mencari kedai peniaga terbabit.

“Kan betul kata saya?” Balas peniaga itu. Yakin betul dia yang kedainya memang terkena sihir mereka yang dengki dengan peniagaannya.

Akan tetapi peniaga itu terkejut bila si ustaz memberitahu kedainya tidak disihir orang.

Si peniaga tidak mahu mengakui hakikat yang orang ‘tidak nampak’ kedainya kerana tiada papan tanda!

“Kedai saya tidak perlukan papan tanda. Semua orang di sini, kenal saya.”

Papan tanda adalah perkara asas memperkenalkan atau mempromosikan kedai kepada mereka yang belum kenal dan untuk memastikan pelanggan biasa terus kenal dan ingat kepada kita.

Gambar Hiasan Daripada Google

Pernah atau tidak, anda mengalami situasi ini?

Situasi 1# Anda minta kad perniagaan dari seseorang yang katanya dia seorang usahawan. Dia meraba segala poket yang ada di pakaiannya mencari kad perniagaan.

Dan kemudiannya dia beri alasan kad habis, belum cetak, tertinggal di kereta dan alasan lain.

Situasi 2# Anda pergi ke ladang buah-buahan dan anda ingin ambil gambar kenangan sebagai tanda anda pernah pergi ke situ.

Mahu ambil gambar bawah satu pokok buah-buahan tapi sepertinya pokok di belakang rumah anda sahaja! Mahu bergambar dekat papan tanda, papan tanda pula tiada!

Alasan yang diberi oleh pemilik ladang kerana tidak letak papan tanda ialah takut pencuri tahu di kawasan ini ada ladang dan mereka akan datang mencuri.

Peladang ini lebih takut pencuri yang seorang dua atau mungkin tiada pencuri langsung daripada pelanggan dan pelawat yang berbondong-bondong datang bila ada papan tanda.

Betapa adanya ramai peniaga tidak memberi keutamaan kepada bahan promosi asas seperti papan tanda dan kad perniagaan. Mereka hanya ‘pacak gerai’ dan berharap pelanggan akan datang.

Jika dua alat promosi asas itu tidak dibuat, bagaimana untuk mengharapkan mereka akan melakukan promosi yang lebih canggih?

Dalam perniagan, kerja-kerja untuk membuatkan orang membeli adalah penting. Apa guna adanya produk yang baik kalau tidak ada siapa yang membeli!

Jangan takut dan rasa rugi untuk keluarkan modal bagi membuat kerja-kerja supaya orang kenal perniagaan dan produk kita sekaligus mahu membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan kita.

Jangan salahkan orang lain yang kononnya telah ‘mengenakan’ kita bila perniagaan tidak dikenali dan tidak maju.

Kita tidak membuat kerja-kerja yang sepatutnya untuk memperkenalkan perniagaan kita, bukan kerana terkena ilmu hitam!

===

Mungkin ini yang anda perlukan:

> > > Belajar bagaimana cara berniaga online produk fizikal di Shopee dengan betul sehingga mampu menjana sale 4 angka seminggu!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge