Pintu Masuk Ke Kampung Luat Yang Kini Hanya Jadi Kenangan

Aku teringat-ingat dan rindu pemandangan ini.

Pagi selepas sarapan, tengah hari sementara menunggu Zohor dan petang senja menunggu Maghrib di surau… aku selalu lepak di pondok menunggu tebing sungai Perak untuk menghayati suasana ini.

kampung luat yang indah

Begitu rutin aku dulu bila pulang ke Kampung Luat, Lenggong Perak. Pulang ke rumah tok dan opah.

Inilah pintu masuk utama ke Luat. Perhubungan utama Kampung Luat dengan ‘dunia luar’ adalah melalui motobot.

Kenderaan besar tidak boleh masuk ke kampung kecuali melalui jalan jauh yang menyusahkan. Tidak berbaloi untuk ikut jalan jauh jadi lebih kerap pemilik tinggalkan kereta di seberang sungai. Hanya motosikal dan basikal sahaja boleh naik motobot.

motobot sungai perak

Ada dua motobot yang berulang alik setiap hari. Tiada hari cuti.

Bila cuti-cuti utama, seberang sana penuh dengan kereta anak cucu yang pulang atau saudara mara yang datang menziarah.

Selepas menyeberang ke Luat, kena tunggu di pondok rehat. Menanti ayah, adik beradik atau saudara mara datang membawa balik ke rumah dengan motorsikal. Mudahlah kalau rumah dekat tepi sungai, boleh jalan kaki.

Ketika awal cuti, tebing sungai Perak di Luat sibuk dengan warga yang masuk. Ketika akhir cuti, ia kembali sibuk dengan warga yang keluar. Di seberang sana dengan ruang kawasan yang tidak besar sangat, sama ada pada awal cuti atau akhir cuti, pergerakan kereta boleh jadi ‘jem’.

Selain masjid dan majlis kenduri kendara, di sinilah ‘tempat bersosial’ dan bersilaturrahim warga Luat.

Bila balik ke Luat, asyik dengan adik beradik dan saudara mara paling dekat. Tidak dapat bertemu semua.

Di sini mungkin mereka akan bertemu dengan warga Luat lain yang berhijrah ke luar meneruskan penghidupan. Kawan-kawan lama, dua tiga pupu, sepupu ayah atau mak dan mereka yang lain.

kampung luat lenggong perak

Bagi aku, inilah keindahan sebenar Luat. Suasana begini menjadikan Luat berseri.

Kini semuanya hanya kenangan. Luat sudah ada jambatan untuk menghubungkannya dengan dunia luar.

Pengkalan motobot kini hanya menjadi pengkalan perahu nelayan sungai.

Dan aku pun sudah lama tidak jejak kaki ke Luat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge