10 Wasiat Hassan Al Banna Yang Patut Diikuti Walau Kita Bukan Anak Muridnya

Berikut adalah 10 pesanan as syahid Hassan al Banna sebagai wasiat kepada anak murid. Sudah diucap lama namun kekal releven sepanjang masa dan sesiapa sahaja patut mengamalkannnya walau Hassan al Banna berwasiat kepada anak murid dan pengikut-pengikutnya.

Pesanan ini bila diikuti sebagaimana yang diinginkan oleh Hassan al Banna, boleh menjadikan kita pada hari ini lebih baik dari kita yang semalam. Kita pada minggu ini lebih baik dari kita minggu sebelumnya. Kita pada bulan ini lebih baik dari kita bulan lepas. Dan kita pada tahun ini lebih baik dari tahun sudah.

10 WASIAT HASSAN AL BANNA

Mari kita jadikan 10 wasiat ini sebagai azam untuk dilakukan setiap hari.

Azam # 1 – Berusaha untuk solat pada awal waktu.

Ramai salah faham maksud awal waktu. Bila solat zohor pada jam 1 tengahari, jam 1.30 masih dianggap awal. Malah ada yang anggap jam 2 masih awal.

Sedangkan yang dimaksudkan dengan awal waktu itu adalah terus solat selepas azan dikumandangkan bila kita solat sendirian. Atau selepas iqamah bila kita solat Jemaah.

Rancang waktu bekerja supaya kita dapat solat pada awal waktu. Selain itu, terus menerus belajar tentang solat supaya kualiti solat kita dapat diperbaiki dan yang penting supaya kita dapat meraih khusyuk.

===

Azam # 2 – Perbanyakkan zikir dan selawat.

Berzikir dan berselawat banyak-banyak di mana-mana sahaja. Amat salah jika kita andaikan amalan ini atas tikar solat sahaja. Berzikir dan berselawat sedikit selepas solat kemudian sepanjang hari kita ‘lupa’ zikir dan selawat.

Ketika anda menunggu bas di perhentian bas, kenapa duduk berdiam diri sahaja? Bukankah baik ketika itu kita berselawat atau berzikir. Jika setengah jam kita menunggu bas, berapa banyak selawat dan zikir yang telah kita ucapkan? Bila tidak hafal zikir dan selawat….menyebut Allah…Allah…Allah pun tidak boleh?

Masa menunggu bas adalah contoh sahaja. Ketika anda berjalan dari kereta di tempat parking ke pejabat juga adalah masa terluang. Kita boleh kaitkan dengan masa-masa terluang yang lain. Setiap orang tahu masa terluang masing-masing. Jangan sia-siakan masa itu.

Berselawat dan berzikirlah. Dari situ kita akan memperoleh rasa tenteram dan damai jiwa. Di situ juga ada jaminan keselamatan dari tuhan.

Nota; Pergi ke kedai buku. Belilah satu buku himpunan zikir dan satu buku himpunan selawat. Kita tidak perlu amalkan semua zikir dan semua selawat dalam buku itu. Baca semua dahulu dan kemudian pilih satu zikir dan satu selawat yang  terasa ‘dekat’ pada hati.

Photostat atau salin zikir dan selawat ini dan simpan dalam kocek baju. Bila-bila ada masa seperti disebutkan di atas, bacalah zikir dan selawat ini dari salinan itu. Lama kelamaan kita akan hafal dan tidak perlukan kertas salinan itu lagi. Terus amalkan hingga ia menjadi tabiat.

===

Azam # 3 – Baca al Quran dan baca maknanya sekali.

Ada orang alim mengatakan, antara bencana yang menimpa umat Islam ialah mereka membaca al Quran tapi tidak tahu maknanya

Selama ini kita membaca al Quran tanpa mengerti maknanya. Apa kata selepas ini kita memerhatikan setiap makna ayat al Quran yang kita baca.

Bukan hanya baca maknanya sahaja. Selepas ini bacalah satu ayat dengan jelas kemudian berhenti untuk membaca maknanya. Kemudian sambung baca ayat yang lain dan berhenti untuk membaca maknanya. Dan seterusnya.

Peruntukkan masa yang khusus untuk cara baca begini.

Masa yang lain bolehlah baca terus menerus seperti biasa

Namun harus diingat makna dan tasiran al Quran adalah dua perkara berbeza. Kita boleh membaca makna al Quran tanpa perlukan guru. Tapi untuk mengetahui maksud dari makna itu perlukan guru untuk mentafsirnya.

Jangan kita menafsir sendiri makna al Quran tanpa pedoman guru.

Nota; Pergi ke kedai buku dan belilah satu al Quran terjemahan. Jika ada kemampuan kewangan berusaha untuk memiliki satu set tafsir al Quran seperti Tafsir al Munir atau Tafsir al Quran tulisan Hamka.

===

Azam # 4 – Sebarkan idea tanpa bertarung mempertahankannya.

Bila kita yakin yang idea kita boleh membawa kebaikan, maka sebarkan ia dengan pelbagai cara. Tulis di blog atau sebar di media sosial.

Bagaimana pun kita perlu faham, sebaik mana pun kita rasa idea itu, ia bukan mutlak benar.

Idea itu mungkin benar sekarang tapi tidak benar pada masa akan datang kerana faktor masa. Berguna kepada seseorang tapi tidak berkesan kepada orang lain kerana faktor tempat atau kehidupan berbeza. Dan hujah idea kita mungkin boleh ‘dipatahkan’ oleh hujah idea orang lain.

Kerana ia tidak mutlak benar, maka di sinilah maksudnya kita tidak perlu ‘bertarung’ mempertahankannya. Sebarkan idea berdasarkan fakta yang kita ada. Jangan mempertahankan kalau semata-mata untuk menjaga ego.

Nilai idea kita dari masa ke semasa. Apakah kita perlu terus sebarkannya atau ubah idea menjadi lebih bagus atau batalkan dan ikut idea orang lain yang lebih baik.

===

Azam # 5 – Banyak senyum dan sedikit ketawa

Jangan terlalu serius menjalani hidup ini. Ketawalah dan senyumlah selalu. Namun antara senyum dan ketawa, nabi melarang ketawa yang keterlaluan.

Kerana banyak ketawa boleh menggelapkan hati. Semetara senyum itu termasuk dalam kategori sedekah.

Jadi senyum selalu dan kurangkan ketawa.

Baginda nabi juga ketawa bila ada sesuatu yang menggembirakan hati. Namun ketawa nabi hanya ‘senyuman lebar’ yang menampakkan gigi.

Plato ada berkata, orang yang banyak berlawak dan ketawa ialah golongan hamba abdi. Itulah juga pendapat Aristotle.

Elak menonton rancangan hiburan atau rancangan lawak yang boleh membuatkan kita ketawa berlebihan. Ketawalah untuk menghilangkan stress bukan ketawa berlebihan yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri.

===

Azam # 6 – Bersiap serius dan berpatutan bila bergurau

Kesungguhan boleh hilang bila tidak serius. Keyakinan hnya dapat diberikan kepada mereka yang serius. Bagaimanapun serius yang keterlaluan akan menakutkan dan menjauhkan orang. Namun… tanpa gurauan, kehidupan akan tawar tanpa seri

Berikan kerehatan pada akal dan jiwa yang serius dan sibuk itu dengan gurauan, namun jangan berlebihan. Garam perlu dimasukkan secukupnya dalam gulai supaya gulai sedap dimakan. Garam yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan.

===

Azam # 7 – Bercakap sekadar boleh didengari

Luqman al Hakim mencela orang yang tidak mengawal nada suaranya. Dia menganggap orang ini bersuara seperti keldai. Seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Nabi Muhammad SAW menegah seseorang menguatkan dan mengeraskan suara dalam bacaan solat dan bacaan al Quran.. tapi jangan pula merendahkannya. Pilihlah antara keduanya iaitu sederhana sekadar boleh didengari oleh telinga kita sendiri.

Bila kita bercakap dengan satu orang, cukuplah satu orang itu yang mendengarnya. Kenapa orang lain perlu terganggu dengan suara kita. Dalam soal agama pun tidak boleh mengeraskan suara, inikan pula dalam percakapan harian.

Kita hanya bercakap dengan seseorang bukan berceramah kepada sekumpulan orang. Bercakaplah sekakadar boleh didengari oleh orang yang kita cakapkan.

===

Azam # 8 – Jangan mengumpat atau merendahkan kumpulan lain  

Sekiranya kita  berada dalam satu jemaah, janganlah mengumpat atau merendahkan jemaah lain. Bila kita berada dalam satu group, jangan menghina group lain. Bila kita ada idea jangan sesekali mengutuk idea orang lain.

Untuk pergi ke satu tempat banyak jalan yang boleh dilalui dan banyak jenis kenderaan yang boleh dinaiki. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Dosa mengumpat samalah seperti memakan daging mati orang yang kita umpat itu. Begitulah dosa orang yang suka mengumpat.

Tidak ada umpatan dalam Islam, yang ada hanyalah teguran untuk menghapuskan kemungkaran dan kezaliman. Yang ada hanyalah kenyataan untuk menuntut keadilah bila dizalimi dan mengumumkan kejahatan dan kefasikan yang boleh merosakkan.

===

Azam # 9 – Luaskan pergaulan dan persahabatan, jauhi permusuhan

Ucapkan salam kemesraan kepada banyak orang. Hulurkan tangan bersalam untuk berkenalan dengan sebanyak mungkin orang. Jadikan mereka kawan. Kenapa memusuhi seseorang sedangkan kita boleh berkawan dengannya?

Berkawan biarlah banyak. Bermusuh jangan sekali. Musuh jangan dicari tapi bila ada di depan kena berani hadapi.

===

Azam # 10 – Gunakan waktu atau masa dengan sebaiknya

Bertindaklah segera dalam melakukan amal…..Nabi Muhammad mengulangi saranan ini sebanyak 7 kali untuk menunjukkan betapa pentingnya masa.

Jadualkanlah hidup kita supaya masa itu dapat digunakan secara maksimun tanpa pembaziran. Kita wajib menyayangi masa dan hormatilah masa orang lain.

===

10 azam wasiat Hassan al Banna ini boleh dijadikan tambahan azam tahun baru yang bakal menjelang.

===

Yang ini mungkin sesuai untuk anda:

KLIK >>>: Belajar bagaimana cara berniaga online produk fizikal di Shopee dengan betul sehingga mampu menjana sale 4 angka seminggu!

panduan berniaga di shopee

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge