2 Kenangan Raya Yang Hilang

Selalunya, setiap tahun aku sambut raya di Kg Luat, lenggong Perak. Kampung kelahiran aku, juga tempat lahirnya mak dan ayah aku. Tiada istilah giliran balik kampung pada mak ayah. Mereka dari kampung yang sama.

# Ini catatan peribadi yang meleret untuk dibaca. Mungkin tiada manfaat peribadi yang dapat anda ambil bila membacanya. Nota ini hanya untuk kenang kisah lama. Terima kasih bila anda dapat habis membacanya. #

Ada sebab aku selalu beraya di Luat, bukannya di Gelanggi 2, Jerantut. Tempat hijrah mak ayah aku untuk cari rezeki. Pertamanya kerana aku lahir di sana dan zaman kecil aku dijaga tok dan opah. Keduanya sebagai ganti mak ayah yang tiada upaya untuk selalu balik beraya di luat.

Terutamanya sekarang bila ayah tiada. Mak pula dengan sebelah kakinya sudah tiada, asyik berkata yang dia sudah ‘tidak nampak jalan’ untuk balik Luat. Maka aku sebagai ganti mereka menjenguk kampung sementara opah masih ada. Hanya opah, mak pada mak aku masih ada. Ayah pada mak sudah tiada. Mak dan ayah pada ayah aku meninggal masa aku kecil lagi.

Raya2013Luat003( Pasangan romantik mak dan ayah pada mak aku. Sekarang hanya tinggal opah )

Dahulunya, amat terasa seronoknya beraya di Luat. Sekarang rasa seronok beraya sudah hilang sengatnyat. Semua orang kampung solat raya di masjid. Sekarang solat raya ‘berpecah’ antara masjid dan surau di setiap bahagian kampung. Alasannya masjid tidak dapat menampung kesemua penduduk kampung untuk solat raya. Tapi muat pula bila solat jumaat?

Dulu bila selesai solat raya, pakat ramai-ramai beraya di rumah sekeliling masjid. 3 buah rumah paling dekat dengan masjid adalah rumah mak dan ayah saudara aku sebelah ayah. Tiap tahun mereka kena keluar bajet lebih untuk buat jamuan raya. Cukup meriah.

Raya2013Luat001( Dulu masjid lama stail lama masih dapat buat solat raya di satu tempat. Sekarang stail baru tetapi masjidnya tetap yang lama )

Sekarang tiada lagi. Mak dan ayah saudara sudah tiada. 2 buah rumah termasuk rumah kelahiran ayah aku mungkin bila-bila masa akan roboh. Anak-anak mereka iaitu sepupu aku ada rumah masing-masing. Hanya 1 rumah di pintu masuk masjid yang dihuni sepupuku.

Tidak tahu pula aku kalau dia menerima tetamu yang ramai selepas solat raya. Kalau pun rumah mak dan ayah saudara aku tiada lagi penghuni, masih ada rumah lain berdekatan masjid yang ada tuannya.

“Ketua kampung luat…saya nak cadangkan supaya tradisi ramai-ramai beraya selepas solat hari raya patut diteruskan semula kerana banyak rumah lain yang ada. Begitu juga tradisi bertahlil dikubur, mungkin patut diteruskan semula. Kalau tidak dapat ramai-ramai pergi kubur, tahlil selepas solat raya dalam masjid pun boleh.”

Aku tidak solat raya di masjid. Aku bersolat di surau berdekatan dengan rumah opah di Paya Luat. Tradisi beraya ramai-ramai di surau tidak pernah dibuat.

Raya2013Luat002( Sekarang surau Paya Luat sudah kelihatan baru sedikit )

Itu antara kenangan beraya di Luat yang sudah hilang. Kenangan #1 ini hampir sama dengan kenangan #2 yang juga sudah hilang iaitu kenangan beraya di gelanggi 2. Tepatnya di Felda Kota Gelanggi 2.

Tahun ini aku beraya di Gelanggi 2 kerana selepas raya ada majlis bertunang adik aku. Setahun selepas adik kembarnya bertunang. Buat majlis kecil sahaja. Hanya jemput jiran sebelah rumah.

Seperti di Luat, di Gelanggi 2 juga ada raya ramai-ramai dari rumah ke rumah. Aku tidak tahu di kawasan blok orang lain di Gelanggi 2 atau Gelanggi lain ada buat atau tidak. Yang berdekatan dengan kawasan blok ayah aku tidak buat. Hanya ayah dan kawan-kawan dalam bloknya sahaja yang buat. Raya ramai-ramai dalam kawasan blok sahaja.

Raya2013Gelanggi2( Solat raya di Gelanggi 2 sentiasa ramai )

(ada 4 gugusan Gelanggi. Gelanggi 2 bercantum dengan 4. 3 bercantum dengan 1. Masjid juga bercantum. Dalam Felda hanya Felda Gelanggi yang masjidnya ada 2 kubah. Solat jumaat buat di masjid bersama-sama tapi solat raya buat asing-asing)

Kaum ibu dengan anak dara mereka bersiap hidangan di rumah, hanya kaum bapa yang beraya dari rumah pertama dalam kawasan blok hingga rumah terakhir iaitu rumah kami. Setiap rumah ada hidangan yang menjadi trademark masing-masing. Kuih muih, biskut raya dan ketupat lemang hanya menjadi menu sampingan. Menu utama ialah bihun sup, mee kari dan sebagainya.

Mak sajikan laksa dan rojak buah. Ada rumah lain yang buat laksa tetapi rojak buah hanya ada di rumah kami.

Akan tetapi kenangan itu juga telah hilang. Tiada lagi program beraya ramai-ramai dalam kawasan blok. Alasannya hanya satu, lebih dari separuh kaum bapa dalam blok kami telah pergi mengadap ilahi. Yang tinggal hanya kaum ibu. Kaum bapa yang tinggal dan anak-anak mereka yang sesekali balik beraya tidak pula meneruskan tradisi ini.

2 kenangan ini telah hilang. Bererti hilang juga kemeriahan dan keriuhan hari raya. Mereka yang masih kecil mencipta kenangan raya mereka sendiri. Dan pada masa hadapan, mereka juga akan mengenang suasana hari raya yang mereka lalui kini.

Kita masih dalam suasana raya. Ada yang sudah bekerja pada Isnin 12hb, ada yang mula kerja Rabu 14hb, dan pada 19hb rasa-rasanya tiada lagi yang bercuti.

Apa pun di sini saya masih ingin mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Share

12 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge