23 Perkara Yang Dilakukan Oleh CEO D’Apple Semasa Bisnesnya Jatuh Teruk!

Semua ahli bisnes pernah mengalami zaman kejatuhan. Siapa yang tidak pernah?

Sebenarnya bukan hanya ahli bisnes, selagi bernama manusia dalam apa yang dibuatnya dalam hidup pasti pernah menghadapi kehidupan yang gawat.

Beza antara manusia itu adalah bagaimana mereka menghadapi kegawatan hidup itu. Ada yang ‘tenggelam’ dalam kegawatan itu, sementara yang lain bangkit meneruskan hidup. Hari di depan dianggap hari serba baru.

Setiap individu punya cara sendiri untuk bangkit memulakan hidup baru.

Ada yang senyap bangkit bersendiri. Ada pula individu, berkongsi kisah untuk memberi inspirasi kepada individu yang lain yang mungkin menghadapi masalah sama.

 Salah seorangnya tokoh usahawan muda Tuan Abd Hakim Awang, pengasas dan tuan punya jenama dan rangkaian D’Apple yang suka berkongsi kisah dengan khalayak.

Tuan Abd Hakim Awang telah beberapa kali jatuh dalam bisnes. Pernah hanya ada beberapa ribu RM sahaja dalam bank dengan overhead bulanan RM100k++ dan hutang mencecah Juta RM.

Beliau berkongsi dalam status facebook, 25 perkara yang dibuatnya ketika situasi kejatuhan. Dan tentunya 25 perkara ini dibuatnya terus menerus sehingga kini dan bukan sewaktu susah sahaja.

25 perkara yang dibuat ini membolehkan beliau mampu bangkit dan berjaya bertahan hingga saat ini dengan izin Allah.

25 perkara ini atau 25 tip bangkit dari kejatuhan bisnes ini dikongsi dengan harapan mampu memberi idea dan motivasi bagaimana harus dilakukan jika kita menghadapi saat getir di dalam bisnes.

23 TIP BAGAIMANA BANGKIT DARI KEJATUHAN BISNES

(nota# saya edit dan tulis semula apa yang Tuan Abd Hakim Awang catat di wall FB beliau dan tambah pendapat saya… apa yang patut dan menjadi hanya 23 tip)

1# MUHASABAH DIRI & BETULKAN NIAT & BERTAUBAT

Perkara pertama yang dilakukan adalah mengaudit diri sendiri. Dengan kata lain MUHASABAH DIRI! Cari masa tenang (contohnya lepas solat), pejam mata dan tanyakan diri sendiri:

Apa yang betul dan apa yang tidak betul pada diri yang menyebabkan kita gagal dan masih belum berjaya keluar dari kegawatan yang dihadapi.

Perkara kedua adalah MEMBETULKAN NIAT. Apa niat asal buat bisnes?

Adakah untuk menunjuk-nunjuk yang kita bos sebab ada bisnes? Untuk ‘balas dendam’ sebab diejek miskin? Sebab mahu dilihat sebagai orang kaya? Atau niat apa!

Berniat semula dengan niat yang baik-baik. Lebih dari satu niat pun tidak mengapa.

Berniat untuk membantu diri dan keluarga. Dapat membantu orang ramai dengan menyediakan peluang pekerjaan. Boleh membayar zakat dan bersedekah lebih banyak.

Berniat juga bisnes yang kita buat sebagai jihad ekonomi. Dengan bisnes ini kita dapat membantu umat Islam dan meningkatkan syiar Islam.

Niatlah apa-apa niat pun yang bukan hanya untuk kepentingan peribadi. Memang sukar untuk selarikan niat dengan keikhlasan. Namun selagi tidak bermula berniat selamanya akan semakin sukar.

Perkara ketiga pula adalah BERTAUBAT. Jika tiada salah pun perlu bertaubat, inikan pula kita tidak tahu apa dosa dan noda yang kita pernah buat.

Nabi yang terhindar dari segala dosa pun banyak beristighfar, kita insan biasa yang pasti berdosa ini kenalah lebih banyak ISTIGHFAR sebagai satu cara membersihkan diri dari dosa dan noda. Istighfar beratus kali setiap hari malah sampai ribuan kali setiap hari lebih baik.

2# PERBAIKI & KUATKAN HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Rezeki (kewangan) yang kita usahakan selama ini adalah milik Allah. Di sisiNya kekayaan yang tidak terbatas. Gawat bisnes yang kita hadapi sedikit sebanyak kerana masalah kewangan dan hanya Allah yang boleh mengeluarkan kita dari kegawatan ini.

Jadi bagaimana mungkin kita mampu keluar jika hubungan dengan Allah yang menentukan segala-galanya itu renggang? Sesungguhnya, Allah tidak memerlukan kita pun tapi kitalah yang perlukan Allah.

Perbaiki dan kuatkan hubungan dengan Sang Pencipta ini. Mulanya sukar tapi paksakan diri, lama-kelamaan ia akan menjadi habit.

Bagaimana caranya memperbaiki dan menguatkan hubungan dengan Allah ini:

2.1 – Jaga Solat

Berusaha solat di awal waktu. Bersolat dengan tenang dan usahakan kekhusyukan.

Selepas solat, elok buat solat qadha selain solat sunat. Ya, kita wajib solat selepas baligh pada usia muda sangat. Mungkin kita tertinggal solat wajib di usia muda yang kita tidak ingat.

2.2 – Banyakkan Bacaan alQuran

Baca alQuran setiap hari sebanyak yang mampu. Bila setiap hari baca walau satu ayat, paling kurang setahun katam sekali alQuran.

2.3 – Banyakkan Berdoa

Maksud firman Allah: Dan mintalah kepadaKu, nescaya akanKu kabulkan…

Jadi jangan lepaskan peluang untuk berdoa banyak-banyak. Anggapan yang berdoa hanya di tempat dan selepas solat dengan mengangkat tangan segalanya adalah tidak tepat. Berdoa boleh di mana sahaja dan dalam apa juga keadaan.

Bangun tidur berdoa. Berdoa bila keluar rumah. Masuk pejabat. Sebelum berjumpa sesiapa. Dan segalanya. Juga berdoa sebelum tidur.

Boleh berdoa dalam bahasa arab dengan doa yang sudah ditetapkan atau boleh berdoa dalam bahasa Melayu dengan maksud kehendak kita sendiri. Allah yang menciptakan bahasa dan Dia tahu apa permintaan hambaNya dalam apa juga bahasa.

2.4 – Solat Hajat Setiap Hari

Macam mana dalam keadaan kita berhajat sesuatu dengan Allah supaya Allah keluarkan kita dari kegawatan bisnes ini tetapi kita berkira-kira dengan solat hajat. Bukan lama pun untuk solat hajat. 2 rakaat sahaja sehari.

Bila ada hajat, dahului dengan solat hajat disusuli doa. Barulah kelihatan lengkap.

2.3 – Solat Dhuha

Waktu yang sesuai adalah bermula jam 9 hingga 11 pagi atau waktu tengah-tengah antara subuh dan zohor. Tetapi ia tetap boleh dilakukan selepas matahari terbit hingga sebelum zohor.

Seperti solat hajat, sekurang-kurang buatlah 2 rakaat dhuha setiap hari.

2.6 – Solat Withir

Sebelum tidur buat 3 (2+1) rakaat withir dengan 2 salam. Atau selepas solat tahajjud malam. Baginda Rasul (selawat atasnya) tidak pernah meninggalkan solat withir.

2.7 – Solat Tahajjud

Seperti withir, tahajjud juga solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasul (selawat atasnya). Bagus  benar jika mampu bertahajjud setiap malam. Namun dapat buat 1-2 kali seminggu pun sudah bagus.

Kita perlukan kekuatan diri untuk keluar dari musibah hidup, tapi bagaimana mungkin jika untuk bangun malam bertahajjud pun tiada kekuatan?

2.8. Bersedekah

Sesiapa juga inginkan kejayaan dan mahu mendapat lebih dalam hidup ini namun tanpa sedar kita sebenarnya kurang dalam memberi!

Jika ingin berjaya bangkit dari kegawatan, tetapkan RM dalam jumlah tertentu setiap bulan untuk sedekah. Bahagikan supaya sedekah ini dapat diberi setiap hari. Cara ini lebih baik daripada dibagi sekaligus sekali sahaja sebulan. Kita mahukan pemberian sedekah walau sedikit tapi secara konsisten setiap hari.

Jumlah RM tertentu ini ada penerima tetapnya seperti anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya. Di samping itu masih ada pemberian lain (duit yang lain) untuk hal-hal berbangkit seperti tabung kecemasan, sumbangan kematian dan sebagainya.

Selain wang ringgit, jangan lupa sedekah berbentuk lain seperti khidmat tenaga dan penyampaian ilmu.

#Rujukan sesuai: RAHSIA JADI KAYA MELALUI SEDEKAH

2.9 Bayar Zakat

Buat kiraan 2.5% daripada pendapatan untuk membayar zakat. Bayar 2 zakat, zakat peribadi dan zakat perniagaan.

Walau kalau diikutkan, jumlah bersih yang tinggal tidak diwajibkan kita membayar zakat, namun mulalah membayar zakat.

3# PERBAIKI HUBUNGAN DENGAN IBUBAPA

Beruntung kepada mereka yang masih ada ibubapa. Cari jalan untuk sentiasa mengembirakan hati mereka.

Tetapkan waktu yang khusus dan tetap untuk menghubungi mereka dalam seminggu. Selalu balik berjumpa mereka. Jangan lupa duit poket untuk ibubapa walau ibubapa ada pendapatan sendiri.

Minta ibubapa doakan kejayaan kita dan kita pula jangan lupa berdoa kebaikan untuk mereka.

Bagi yang tidak ada ibubapa, perbaiki hubungan dengan mereka yang ada hubungan dengan ibubapa terutama adik beradik ibubapa (ibu dan bapa saudara) dan kawan-kawan rapat ibubapa.

4# SENARAIKAN APA KEGAWATAN YANG DIALAMI DAN APA USAHA YANG PERLU DILAKUKAN

Duduk berbincang dengan pasangan atau rakan kongsi. Senaraikan satu persatu apa yang menimpa dan seteruskan apa tindakan atau strategi yang perlu dibuat untuk bangkit kembali.

Jangan fikirkan tindakan itu boleh dibuat atau tidak. Senaraikan sahaja. Dan usahakan untuk dibuat walau ikut logiknya tidak akan berjaya.

Contoh: tetap buat permohonan pinjaman bank walau tahu tidak akan lulus berdasarkan beberapa kriteria. Tapi itu lebih baik daripada duduk diam sahaja.

Mesti buat sesuatu walau seperti tiada harapan. Yang penting kita yakin Allah melihat usaha dan ikhtiar kita itu untuk keluar dari masalah. Dan kuasa Allah, pinjaman boleh lulus walau logiknya tidak lulus.

Kita akan keluar dari masalah bukan kerana kita jumpa jalannya tapi kerana berkat usaha dan ikhtiar tanpa putus asa. Allah buka jalan. Allah bagi jalan penyelesaian dalam bentuk yang tidak kita sangka.

5# TETAP (ISTIQAMAH) DALAM USAHA – TIDAK PUTUS ASA

Kegagalan bukan alasan untuk ‘berhenti’. Jika penat, berhenti rehat bukan ‘quit’! Terus berusaha bila kita yakin dengan apa yang dibuat. Bukan apa yang kita ‘kejar’ itu salah, mungkin cara mengejar itu yang salah.

Jangan putus asa dan lebih-lebih lagi jangan putus asa dengan rahmat Allah.

6# PERCAYA DIRI & YAKIN DAPAT KELUAR DARI MASALAH

Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa; “Aku mampu bangkit dan aku pasti akan bangkit menjadi lebih besar dari sebelum ini.”

Yakin Allah akan membantu. Tanpa keyakinan dan kepercayaan ini, kita akan lesu.

7# CARI MENTOR

Untuk bangkit dan berjaya dalam bisnes kita perlukan mentor. Memiliki mentor adalah cara bijak untuk berjaya. Mentor boleh dijadikan tempat rujuk untuk sebarang pendapat atau nasihat perniagaan.

Mentor ini perlulah mereka yang berpengalaman dan sudah berjaya dalam bidang yang diceburi. Ingat, orang yang super berjaya pun ada mentor mereka sendiri. lebih-lebih lagi yang baru bertatih, lebih perlukan mentor.

8# TERIMA HAKIKAT & JANGAN RATAPI GAWAT YANG MELANDA

Sudah lumrah yang kejayaan dan kekayaan diawali dengan gawat!

Sekarang kita berada dalam kegawatan sedang apa yang kita ingin tuju adalah kekayaan dan kejayaan. Bermakna inilah laluannya dan tiada laluan lain selain melalui keadaan yang dihadapi sekarang.

Kalau berundur, apa yang di depan tidak akan dapat dicapai. Kalau mengelak, mungkin kita sedikit senang tetapi tidak pasti apa yang ada di depan.

Jadi kita wajib tempuh kegawatan ini dalam menuju kejayaan. Sedih memang tidak dapat dielak namun jangan sampai kesedihan membuatkan satu kerja pun tidak dapat dibuat.

9# MENILAI DIRI SENDIRI

Sebelum ini kita kaji dan menilai apa jenis kegawatan yang kita hadapi dan senarai cara atau strategi yang boleh kita buat.

Sekarang kita kaji dan menilai peribadi sendiri. Apa kekuatan dan kelemahan diri. Perkuatkan apa yang kuat dan perbaiki apa yang lemah. Mungkin kegawatan yang berlaku kerana kelemahan diri dan tidak menggunakan kekuatan diri sepenuhnya.

Contohnya; Jualan produk tidak laris kerana kita malu untuk memberi taklimat  penerangan dan dalam masa yang sama kita ada kemahiran menulis penerangan itu. Jadi kuatkan kemahiran itu dengan menulis dan mempromosikan secara online dan dalam masa yang sama berusaha menghilangkan rasa malu berucap supaya kita dapat mempromosikan secara offline pula.

10# TANYA PENDAPAT ORANG LAIN

Malu bertanya sesat jalan. Malas bertanya tidak nampak jalan kekayaan.

Jangan malu bertanya pendapat kawan-kawan atau pelanggan, apa yang perlu kita perbaiki. Sebenarnya banyak perkara yang kita tidak nampak tetapi nampak jelas di mata kawan-kawan dan pelanggan.

Kalau perlukan jawapan dari konsultan kita kena bayar. Kenapa tidak dapatkan jawapan  percuma dari kawan-kawan dan pelanggan ini?

11# TULIS SETIAP IMPIAN

Tulis setiap impian masa hadapan kita. Sebagaimana kita yakin ketika berdoa yang Allah akan makbulkan, begitulah kita patut yakin setiap impian yang kita tulis atas sehelai kertas akan termakbul juga.

Tulis setiap impian itu adalah seperti doa juga. Doa yang terpateri! InShaAllah satu persatu impian yang tertulis itu akan menjadi kenyataan.

12# BACA KISAH KEJAYAAN UNTUK BANGKITKAN MOTIVASI

Semangat seseorang selalu turun naik. Sekejap bersemangat, sekejap yang lain ‘down’. Sebenarnya ini adalah perkara normal.

Bagaimana pun tidak bagus membiarkan semangat jatuh buat masa yang lama. Takut ia tidak akan bangkit lagi. Bina kembali semangat ini dengan membaca kisah-kisah motivasi kejayaan manusia lain melalui buku, youtube, blog dan sebagainya.

13# PERBANYAKKAN JUALAN TUNAI, KURANGKAN JUALAN HUTANG

Utamakan daily cash melalui jualan tunai di premis sendiri dan kurangkan atau hold dulu jualan kredit kepada pengedar atau premis lain.

14# KEPUTUSAN KEWANGAN MESTI BERDASARKAN DATA DAN REKOD

Mungkin sebelum ini, setiap keputusan kewangan berdasarkan congakan atau kiraan sambil lewa sahaja. Kita tidak boleh lagi membuat keputusan kewangan berdasarkan ramalan dan agak-agak, tetapi mesti melalui data-data penting yang direkod dengan baik.

Mula buat akaun dengan betul. Catat dan rekodkan debit dan kredit jualan setiap hari. Buat akaun untung rugi. Buat apa yang sepatutnya berkenaan akaun bisnes.

15# BELANJA KEPADA SESUATU YANG MENAMBAH JUALAN SAHAJA

Jangan membeli sesuatu yang tidak perlu. Fokus kepada belian yang boleh membantu aktiviti jualan yang boleh menambah atau menguatkan aliran tunai.

16# JANGAN ULANGI KESILAPAN DULU

Buat catatan kesilapan yang pernah kita buat sebelum ini supaya catatan ini menjadi ingatan untuk tidak mengulanginya lagi.

Tidak salah bila melakukan kesalahan tetapi melakukan kesalahan yang sama berulang kali… itu dipanggil tidak cerdik!

17# BUKAN LAGI MASA MAIN-MAIN DAN CUBA-CUBA

Bangang kata orang kalau masih bermain-main ketika kegawatan ini. Dan kita tidak boleh lagi mencuba-cuba ketika ini. Segalanya perlu keputusan tepat! Ya, mungkin kita akan tersadung atau terjatuh walau segalanya kita rasakan sudah tepat. Tetapi ia tidak akan seteruk jatuh kerana main dan cuba-cuba.

18# BUANG SIFAT MAZMUMAH DENGAN KELEBIHAN DAN KEJAYAAN ORANG LAIN

Kita mohon kurnia Allah agar terlepas dari kegawatan ini sekaligus mohon kejayaan dan kekayaan  melalui bisnes yang kita jalankan. Jangan sambut kurniaan itu dengan hati yang kotor kepada orang lain.

Kekotoran itu akan menghalang kurniaan Allah. Kalau pun Allah beri sedang hati kita kotor, nantinya ia akan membuatkan kita binasa!

19# TUTUP DULU CAWANGAN RUGI

Jika bisnes kita mempunyai cawangan, buat tindakan berani untuk tutup cawangan yang tidak memberikan pulangan atau rugi!

Kekalkan, perbaiki kemudahan dan kemaskan SOP cawangan yang menjana aliran tunai yang baik.

20# JANGAN HARAPKAN HASIL BERBEZA DENGAN PERBUATAN YANG SAMA

Setiap keputusan perlukan beberapa plan tindakan. Jika tindakan #1 tidak memberikan hasil, beralih kepada tindakan #2 dan begitulah seterusnya. Bila beberapa tindakan sudah dibuat tetapi hasilnya tetap tidak memberangsangkan, mungkin keputusan itu patut dibatalkan.

Kalau satu hasil perlukan beberapa tindakan, memang ‘gila’lah kalau hanya melakukan satu tindakan tapi mengharapkan hasil berbeza.

Begitu juga tindakan yang sama mungkin tidak lagi memberikan hasil serupa di lain masa atau di lain tempat.

21# BAYAR HUTANG

Bila berhutang, bayarlah walau sedikit. Bila tidak mampu membayar penuh ketika ini, jumpa orang atau agensi tempat kita berhutang. Berbincang baik-baik dengan pihak terbabit. Jangan lari dan jangan sesekali berniat untuk tidak bayar hutang.

Sekarang kita rasakan tidak mampu membayar hutang, namun Allah Maha Kaya. Dia sangat mampu membayar balik meski hutang kita seisi dunia. Bila kita berniat untuk membayar hutang dan tetap membayar walau sedikit-sedikit dalam masa yang ditentukan, percayalah Allah akan membantu kerana niat dan usaha kita untuk membayar itu.

22# GEMBIRAKAN ORANG LAIN

Gembirakan orang lain dengan senyuman kita. Gembirakan orang sekeliling dengan perangai (akhlak) yang baik dan sebagainya. Itu secara peribadi.

Sebagai peniaga pula, boleh gembirakan orang (pelanggan) dengan menyediakan produk yang berkualiti dengan harga berpatutan. Tawarkan perkhidmtan melebihi jangkaan dan sebagainya.

Kegembiraan orang adalah pintu rezeki dari Allah.

23#  JANGAN MALAS

Kiranya malas, semua benda tidak akan menjadi. Jika malas, semua point di atas akan jadi maklumat tidak berguna.

Pentingnya tidak malas ini atau dengan kata lain mesti rajin, bila Allah menyuruh hamba-hambaNya bertebaran di atas muka bumi selepas solat untuk mendapatkan kurnia Allah.

Ya, kurnia (rezeki) Allah tidak akan jatuh di atas riba. Kurnia Allah diberikan kepada orang-orang yang berusaha mendapatkannya.

Begitulah…

23 point di atas boleh dipakai dalam apa juga bidang kehidupan, bukan semata-mata untuk orang bisnes sahaja.

Tapi seperti kata CEO D’Apple, Tuan Abd Hakim Awang, tiada jaminan yang bila kita buat semua point di atas, kita akan keluar dari masalah atau kegawatan yang dialami.

Ia sebenarnya bergantung kepada niat, keikhlasan dan sejauh mana Allah terima amalan kita.

Berusaha sambil berdoa kepada Allah. Allah terima doa kita. Allah akan keluarkan kita dari ujian yang menimpa melalui cara dan arah yang tidak disangka-sangka. Semuanya bergantung kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

===

Rujukan Yang Mungkin Sesuai Untuk Anda:

[+] RUJUKAN MEMULAKAN BISNES BAKERI DARI RUMAH

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge