30hb Oktober Adalah Hari Lahir Ustaz Ashaari Muhammad

Dikatakan oleh sesetengah orang (lebih ramai sebenarnya mengatakan tidak) bahawa Ustaz Ashaari Muhammad itu tokoh kontroversi.

Kontroversi melingkari diri Ustaz Ashaari sepanjang beliau memimpin Pertubuhan Jemaah Al Arqam. Jemaah Al Arqam (Darul Arqam) ditubuhkan beliau selepas meninggalkan Parti PAS. Beliau pemimpin utama, sejak mula sampai akhir.

Panjang benar kalau mahu catat riwayat hidup Ustaz Ashaari Muhammad yang penuh warna warni.

Saya cadangkan untuk baca sahaja buku berkenaan sejarah hidup Ustaz Ashaari yang ditulis penulis terkenal berkaitan tokoh sejarah, iaitu Tuan Abdul Latip Talib

Buku-buku lain ada juga. Tidak mahu saya sebutkan di sini, cukup buku tulisan Tuan Abd Latip sahaja.

Kontroversi yang hadir mencapai puncaknya, bila Ustaz Ashaari ditahan ISA dan Darul Arqam diharamkan. Haram atas alasan sesat!

Kekeliruan pada diri orang ramai timbul. Kekeliruan itu tidak padam sampai saat ini. Keliru yang nyata membingungkan bila ekonomi Darul Arqam turut dihapuskan, sedangkan yang dituduh sesat itu adalah kepercayaan dan amalan Islam.

Apa pun…. Apa-apa yang dikaitkan dengan nama Darul Arqam sudah berkubur. Lebih lagi bila Ustaz Ashaari sudah meninggal.

Ramai menduga segala-gala tentang Ustaz Ashaari sudah tamat!

Dugaan mereka silap. Malah kalangan mereka yang berusaha mengharamkan Darul Arqam juga tidak menyangka yang Ustaz Ashaari terus ‘hidup’ di sisi banyak orang.

Apa yang diperjuangkan Ustaz Ashaari terus bersambung. Malah ada individu yang tidak mengetahui apa yang dilakukannya adalah apa yang diperjuangkan oleh Ustaz Ashaari.

Tentu lebih lagi kepada mereka yang kekal dan tidak malu mengaku sebagai murid dan pengikut Ustaz Ashari, akan terus berusaha menyambung perjuangan Ustaz Ashaari.

Sudah tentu mereka berjuang setelah membuang apa-apa yang sepatutnya tidak diamalkan lagi seperti yaqazah dan seumpamanya.

Menggunakan teknologi dan mengikut situasi terkini,  mereka berjuang secara peribadi atau dalam kelompok atau kumpulan tersendiri dengan pelbagai nama dan istilah.

Boleh saya katakan, rakyat Malaysia tidak menyedari pengaruh Ustaz Ashaari dalam kehidupan mereka.

Mungkin mereka percaya Ustaz Ashaari Muhammad itu sesat! Namun tanpa mereka sedar….

Kuliah agama yang mereka tekuni setiap hari atau setiap minggu di masjid atau surau… diajar oleh anak murid Ustaz Ashaari.

Rancangan agama yang mereka seronok tengok di TV, seronok dengar di radio, seminar motivasi dari tokoh terkenal yang mereka hadiri…  disampaikan oleh anak murid Ustaz Ashaari.

Buku yang mereka selalu beli dan suka baca sebenarnya ditulis berdasarkan idea pemikiran Ustaz Ashari. Penulisnya yang menjadi idola dan kegemaran mereka rupanya… anak murid Ustaz Ashaari.

Irama nasyid yang menjadi halwa telinga, mainan bibir mereka dan anak-anak adalah lirik nukilan Ustaz Ashaari

Memang ada yang tidak mahu dan malu dikaitkan dengan Ustaz Ashaari Muhammad. Namun betapa ramai lagi tetap menganggap Ustaz Ashaari Muhammad sebagai Mursyid mereka.

Saban tahun setiap 30hb Oktober, mereka menganjurkan majlis hari lahir Ustaz Ashaari walau Ustaz Ashaari Muhammad sudah lama meninggal.

Bukan untuk memuja-muja (Nauzubillahi Minzaalik), sekadar untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana menghadirkan Ustaz Ashaari dalam kehidupan mereka.

30hb Oktobor telah lahir susuk tubuh yang dengan asbab dirinya, kehidupan ramai orang telah berubah.

Mereka percaya, dekatnya mereka kepada kehidupan bersyariat dan lebihnya cinta mereka kepada Nabi Muhammad kerana asbab menjadi murid Ustaz Ashaari.

Kerana itu mereka melahirkan rasa syukur dan gembira dengan menganjurkan majlis hari jadi guru mereka.

Saya menumpang rasa gembira, sepertinya saya juga diraikan. Kerana…

30hb Oktober lahirnya ustaz Ashaari Muhammad. 30hb Oktober juga lahirnya…. Ahmad Yani Bin Bahrom Azhar!

Share

One comment

  1. dulu tadika kat tadika al-arqam ni la.

    belajar muqadam, hafal quran, abc semua.

    dulu, nak jumpa tadika, ada dua je. tadika al-arqam dengan tadika kemas je.

    laa ni, baru banyak tadika macam-macam jenis.
    titan recently posted..Brainwash – Part 3My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge