Bila Dan Di Mana Pertama Kali Kamu Pergi Ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pernakah kamu pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur? Bila dan di mana pertama kali kamu pergi ke PBAKL?

Pertama kali saya pergi ketika pesta buku ini diadakan pada Ogos 1990 di Changkat Pavillion. Namanya ketika itu, Pesta Buku Kuala Lumpur. Akan tetapi seingat saya, pada bungkusan masih tertulis Pesta Buku Malaysia.

Ini tahun terakhir pesta buku diadakan di Changkat Pavillion sebelum berpindah tempat.

Changkat Pavillion terletak di Bukit Petaling. Di situ juga terletaknya Taman Tunku Abdul Rahman, Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Entah apa sudah jadi dengan Bukit Petaling dan sekelilingnya kerana sudah lama saya tidak pergi ke kawasan ini. Mungkin tapak Changkat Pavillion ini yang akan dibina Menara Warisan Merdeka.

Changkat Pavillion memang terkenal. Menjadi tempat popular bagi acara-acara besar kebangsaan dan antarabangsa sehinggalah PWTC muncul dan semuanya beralih ke sana.

Sejarah Ringkas Penganjuran Pesta Buku Di Malaysia.

1# Pameran buku peringkat dunia di Malaysia dianjurkan pertama kali pada 1972. Dikenali dengan nama Pameran Antarabangsa Perdagangan dan Industri Buku (International Exhibition of Book Trade and Industry).

Dianjurkan oleh kedai-kedai buku tempatan sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO.

2# Selepas itu syarikat-syarikat persendirian yang anjurkan pameran-pameran kecil. Syarikat ini membentuk Persatuan Penerbit Buku Malaysia dan mengadakan “Pameran Buku Kebangsaan” pada 1976 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela (Birch Road).

Harapan mereka acara ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan.

3# Namun secara rasminya, “Pesta Buku Malaysia” pertama kali diadakan pada 1982 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya. Pesta ini membabitkan  penyertaan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan industri perbukuan tempatan.

MBKM ditubuhkan pada 1968 dengan nama Majlis Kemajuan Buku Kebngsaan Malaysia (MKBK). Urus setianya diletakkan dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Penubuhan MKBK sebagai sebuah badan khas yang diberi peranan dan tanggungjawab ke arah memajukan bidang perbukuan negara adalah hasil saranan pakar-pakar buku dari Asia Pasifik yang bersidang di Tokyo, Jepun pada tahun 1966 atas undangan UNESCO.

4# Walaupun pesta buku pertama kali diadakan pada 1972, namun tahun 1982 adalah acara besar-besaran yang direkodkan secara rasmi dengan terancang dan berterusan menjadi aktiviti tahunan yang tetap.

5# Pada 1988, lokasi pesta buku berpindah ke Changkat Pavillion. Di sini namanya ditukar menjadi “Pesta Buku Kuala Lumpur”.

6# Kemudian pada tahun 1991, pesta buku ini berpindah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Namanya sekali lagi ditukar menjadi “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur” (PBAKL) apabila penyertaan dibuka kepada pengusaha buku luar negara.

7# Oleh kerana PBAKL popular dan sesak tempat di PWTC, maka pada 2016 pesta buku ini dipindahkan ke tempat yang lebih besar dengan tempat kereta yang lebih luas. Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Walaupun bas disediakan dari stesen komuter Serdang untuk ke MAEPS, ia tetap dianggap menyukarkan pengunjung. Kehadiran orang ramai dan penyertaan penerbit terjejas. Lokasi ini selesa dari segi tempat penganjuran tapi tidak selesa perasaan orang untuk berkunjung ke situ.

8# Akhir pada 2017 PBAKL kembali ke PWTC, sampailah pada tahun 2019 ini.

Pada tahun ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di adakan bermula 29 Mac hingga 7 April 2019. Sebenarnya ia sebulan awal daripada biasa. Mungkin kerana terlalu dekat dengan Ramadan.

3 institusi yang menjadikan sesebuah bandar raya mempunyai nilai ilmu pengetahuan:

1 – Pesta Buku

2 – Perpustakaan.

3 – Kedai buku.

3 ciri gabungan yang membawa maksud pesta buku:

1 – Pameran buku.

2 – Jualan Buku.

3 – Acara buku seperti pelancaran buku baru, wacana buku dan persidangan.

3 pihak berkepentingan yang terlibat dalam pesta buku:

1 – Industri – penulis, penerbit pengedar dan penjual buku.

2 – Pengguna – pembaca buku, pencinta buku, penggila buku, penghimpun atau kolektor buku, pustakawan dan perpustakaan.

3 – keilmuan – karyawan dan sasterawan, pemikir, pembelajaran, sekolah, pengajian tinggi dan universiti.

Hampir setiap negara di dunia ada pesta buku kebangsaan masing-masing. Dan ada antaranya mencapai taraf antarabangsa seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tapi dikatakan dan diiktiraf ramai, penghulu pesta buku dunia adalah Pesta Buku Frankfurt di Jerman.

Saya mahu sarankan…beli buku, baca buku, buat koleksi buku (jadikan perpustakaan keluarga) dan JADIKAN BUKU TEMAN SETIA HIDUP!

= = =

Mungkin kamu perlukan ini:

[+] TIDAK ADA MASA HADIRI KELAS UNTUK BELAJAR MENULIS? BELAJAR MENULIS CONTENT MEDIA SOSIAL CARA ONLINE. Klik untuk keterangan lanjut.

[+] KALAU SANGGUP HADIRI KELAS 2H 1M. Klik untuk keterangan lanjut.

Share

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge