Catatan Peribadi – Kenangan Indah Reunion Kelas Thanawi Kampung Sempadan kali ke 2 Di Kuching Sarawak

Seperti yang aku catat sebelum ini. Perancangan untuk kami rakan sekelas Thanawi Kampung Sempadan untuk berkumpul dan berjumpa sekali lagi dibuat sejak pertemuan pertama Dis 2014.

Tapi tidak pernah menjadi. Sehingga tahun ini, ia menjadi kenyataan. Kami ke Sarawak. Sahabat kami yang juga rakan sekelas, Azmi Ashaari mahu menjadi tuan rumah.

Mulanya aku tidak mahu pergi. Aku memang bukan jenis orang suka berjalan-jalan. Ditambah mudah pening dan mabuk kenderaan. Seriau berada di tempat tinggi lagi bila naik kapal terbang.

Tapi memikirkan payahnya berjumpa serentak sahabat-sahabat  lama, aku buat keputusan pergi. Tolak ke tepi soal pening dan mabuk kenderaan. Buang jauh-jauh seriau naik kapal terbang.

Lagi pula sahabat Tajri pandai pujuk.

BERSUNGGUH SAHABAT UNTUK BERTEMU

Tapi aku malu sendiri dengan bersungguhnya sahabat yang lain untuk pertemuan ini. Sedang aku pada mulanya tidak mahu pergi.

Seperti Ridhuan Ghazali dari Jertih Terengganu dan Pauzi Hashim dari Kuantan Pahang yang datang awal hingga terpaksa ‘lepak’ lama atas kerusi di KLIA sampai ke pagi.

Baha dan Hashim Taib yang naik AirAsia dari Perlis ke KLIA. Nanti nak naik kapal  terbang lagi untuk ke Sarawak.

Aku ke sana menumpang Jamal Ali bersama Tajri dan sempat subuh di KLIA. Lepas subuh lepak bersama sementara menunggu flight. Sampai tidak terfikir untuk sarapan pagi.

DARI KLIA KE KUCHING SARAWAK

Dari ruang menunggu, kami menaiki bas pengantara ke kapal terbang di tengah lapangan. Dan sebelum Jam9 kami naik Malindo Air untuk ke Sarawak dengan perut kosong.

Tidak malu aku akui, ini kali pertama aku naik flight. Jakun jadinya. Seronok juga rupanya naik kapal terbang. Alhamdulillah, tidak ada apa berlaku. Mabuk tidak. Pening pun tidak.

melawat sarawak

Sebelum Jam11 kami sampai ke Kuching. Tuan rumah, Azmi Ashaari menyediakan 2 kenderaan. Satu van dan satu lagi kenderaannya sendiri. Kami terus ke kedai makan, Café Pa Rim Pan. Dapatlah mengisi perut yang keroncong kosong.

Di sini Abdul Muis datang menyertai kami.

tip melancong ke sarawak

MASJID AL GHAZALI WAKAF PAMPASAN TRAGEDI MH17

Hujan turun lebat semasa berhenti solat Zohor dan jamak Asar di Masjid Al Ghazali, Jalan Depo, Petra Jaya Kuching. Masjid ini dibangunkan menggunakan duit pampasan oleh waris 6 sekeluarga dari Sarawak yang terkorban nahas kapal terbang MAS MH17.

pahala solat di masjid

Dari masjid, kami berehat di homestay.

Selepas waktu Asar, kami bergerak ke Kampung Rampangi. Di sini letaknya kediaman tuan rumah, Azmi Ashaari.

Kami bertahlil, minum petang dan duduk berbual-bual menanti datangnya Maghrib. Nanti selepas Maghrib ada program khas.

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM

Azmi Ashaari, dengan kenalan dan pergaulan luasnya dapat mengatur program Forum Perdana Ehwal Islam bersama AJK Masjid Darus Salam.

Program sempena sambutan Maulidur Rasul. Jadi sesuai dengan tajuk yang dipilih; Rasulullah Idola Sepanjang Zaman.

Azmi Ashaari sendiri menjadi moderator. Panel #1, Ridhaun Ghazali. Panel #2, Hashim Taib.

sambutan majlis maulid rasul kg rampangi fasa 1 sarawak

Belum lama majlis bermula, lampu bahagian muslimah terpadam. Bila keadaan tidak dapat dipulihkan oleh AJK masjid, seorang di antara kami menghulurkan tangan. Nawi ada kemahiran dalam pendawaian letrik.

Rupanya sistem pendawaian tidak dapat menampung alatan letrik yang banyak diguna terutama penghawa dingin. Masalah dapat diselesaikan.

Masjid Darus Salam yang sederhana besar ini penuh dengan Jemaah. Kanak-kanak juga ramai.

Sudah tentu majlis tidak dapat berjalan lama bila ia dilaksanakan selepas Maghrib. Ambil masa sedikit selepas azan. Walau singkat, cukup untuk menambah pengetahuan Jemaah yang hadir, bahawa…

…Nabi Muhammad (selawat atasnya) itu insan yang mulia. Mulia Nabi muhammad (selawat atasnya) bukan setelah menjadi rasul seperti kepercayaan sesetengah orang. Mulia Nabi Muhammad (selawat atasnya) sejak belum lahir lagi.

…Dan betapa Nabi Muhammad (selawat atasnya) itu kasih akan umatnya.

…Kita sebagai umat Nabi Muhammad (selawat atasnya) patut membalas kasih itu dengan berusaha mengamalkan Sunnah yang ditinggalkan nabi dan memperbanyakkan selawat.

TUMPANG GEMBIRA DAN BANGGA

Aku dan sahabat yang lain menumpang bangga.

Ada antara kami selepas habis belajar di Kampung Sempadan, meneruskan pengajian di tempat lain. Sama ada dalam negeri atau luar negara.

Bila habis belajar, sahabat kami ini komited dalam pengembangan ilmu. Mereka mengajar di sekolah dan berdakwah di masjid dan surau. Sama ada berceramah bebas atau mengajar kitab.

Sahabat lain yang tidak terlibat dalam bidang keilmuan hanya mendoakan.

JAMUAN NASI

Selepas solat Isyak selesai majlis forum, kami dijamu nasi oleh pihak masjid. Terasa seperti tetamu besar pula bila dilayan dengan meja hidangan.

Aku rasa pelik pula dengan lauk hidangan. Tidak tahu di mana rasa ‘sarawak’nya. Macam lauk yang biasa aku makan di semenanjung je. Ah, rupanya ada penduduk di Kampung Rampangi pernah bertugas sebagai askar di semenanjung.

Mungkin untuk melayan kami dari semenanjung, pihak masjid menyediakan lauk-lauk gaya semenanjung. Tidak kisahlah, asalkan boleh menghilangkan lapar.

Selesai semuanya. Kami balik ke homestay. Berehat dan tidur.

SARAPAN MEE KOLOK

Subuh di Sarawak pukul 5 lebih sikit. Dalam setengah jam atau 45 minit lebih awal. Selepas subuh kami bertahlil ringkas. Mengambil aura berkat pagi di Sarawak.

panduan tahlil

Kemudiannya masing-masing bercerita kehidupan yang dilalui selepas habis belajar di Kampung Sempadan. Tapi tidak semua sempat bercerita. Masa tidak mengizinkan.

Kami keluar sarapan di Kedai Makan Warung Nusantara, di Matang Kuching. Aku ambil Mee Kolok.

Dalam Wikipedia ditulis Mi Kolok. Juga dieja Mi Kolo. Mee yang ada hirisan daging dan dihidangkan dengan sup dan kicap pedas atau sambal kicap. Ada yang makan laksa Sarawak. ada yang pilih roti canai.

PASAR SERIKIN

Selepas sarapan kami bergerak pergi ke Pasar Serikin. Hampir atau melebih 60km dari Kuching.

Pasar Serikin terletak dalam daerah Bau. Dekat dengan sempadan Indonesia. Pasar Serikin kata orang mirip Pengkalan Kubor Kelantan.

Satu masa bila ke sini lagi patut benar melawat-lawat Pekan Bau. Kata orang banyak juga tempat menarik di Bau. Tapi kami hanya pergi ke Pasar Serikin sahaja.

pasar serikin bau sarawak

Pasar Serikin hampir di bawah garisan khatulistiwa. Sebab itu tengaharinya dikatakan panas.

Katanya juga hasil jualan di sini banyak datang dari belah Indonesia. Macam-macam ada kain baju, periuk belangan, barang perhiasan, makanan dan sayuran pun ada.

Pasar Serikin dibuka pada Sabtu dan Ahad sahaja

Mulanya kami berjalan tengok-tengok je. Tidak tahu nak beli apa. Akhirnya sampai terlewat keluar. Aku beli sehelai baju T. Lebih RM20 harganya.

MIRA CAKE HOUSE

Kami keluar dari Pasar Serikin dan kembali ke Kuching.

Kami singgah di Mira Cake House, Jalan Matang Kuching. Di sini sahabat yang lain teruja membeli buah tangan untuk dibawa pulang.

mira cake house kuching

Mira Cake House terkenal dan banyak cawangan. Kedai di Jalan Matang ini banyak dikunjungi mereka yang datang dari Semenanjung kerana dekat dengan Pasar Satok.

Membeli dan bawa balik sendiri. Kalau mahu pihak kedai tolong poskan ke semenanjung pun boleh. Hanya bayar kos posnya.

Aku tidak membeli apa-apa kek. Jujur, aku tidak suka dengan kek lapis. Lagi pula aku terlibat dengan kerja-kerja kek mengekek ni. Naik jemu dah. Tapi aku bawa balik buah tangan juga dari kedai ini. Pes Laksa Sarawak.

PASAR SATOK

Dekat dengan Mira Cake House adalah Pasar Satok. Juga dikenali dengan nama Medan Niaga Satok.

Pasar di Jalan Matang ini adalah pasar moden menggantikan Pasar Tamu Satok. Meriah pada hari Sabtu dan Ahad. Pasar di sebelah Kompleks Kubah Ria lebih kepada jualan hasil-hasil kampung atau hasil hutan.

Terletak di tebing Sungai Sarawak, pasar ini diuruskan oleh FAMA. Mengikut apa yang dilaporkan, jualan tahunan di sini bernilai RM60juta!

Wow, jual hasil hutan/kampung pun boleh mencecah puluh juta. Tepat apa yang dikata…Pertanian Adalah Perniagaan.

Aku sudah pening kepala kerana berjalan jauh dengan kenderaan. Jadi aku tidak ke mana-mana. Memang terasa rugi kerana tidak berjalan-jalan melihat pasar ini.

tip berbelanja di pasar satok

Tapi kami datang ke sini sewaktu peniaga sudah mahu tutup gerai. Tidak banyak yang boleh dilihat.

Tapi kawan-kawan yang rajin berjalan masih dapat membeli apa yang mereka suka. Berkesempatan juga berjumpa sahabat sekelas di Kampung Sempadan…Nasaruddin Ahmad.

Nasaruddin ada kesulitan. Sebab itu tidak dapat bersama sahabat yang lain walau dia ada di Kuching.

BUAH TANGAN IKAN TERUBUK

Dari Pasar satok ini, Azmi Ashaari membekalkan buah tangan berupa antara ikon Sarawak untuk sahabat-sahabatnya….Ikan Terubuk!

Ikan Terubuk terkenal di Mauritius, juga Mekong Kemboja berhampiran Vietnam. Ikan ini dikatakan semakin kurang populasinya kerana penangkapan yang berlebihan. Ia hidup di muara keruh dan persisir pantai.

Dan pantai Sarawak dikatakan habitat terakhirnya.

Jika tidak dilakukan sesuatu, Ikan Terubuk di Sarawak pun menghadapi masalah dan bakal hilang populasinya.

Dari Pasar Satok, kami kembali ke homestay. Mandi dan masih sempat solat Zohor dan jamak Asar. Tidak lama kami berehat. Kami perlu bersiap dan mengemas barangan untuk keluar sepenuhnya.

Kami keluar sepenuhnya sebelum Asar. Pergi makan tengahari di kedai tempat kami bersarapan pagi tadi. Sudah lewat sebenarnya…makan apa yang ada sahaja.

JALAN INDIA KUCHING

Kuching Sarawak juga mempunyai Lebuh India. Disebut juga Little India. Terletak berdekatan Waterfront Kuching. Kami ke sini sekitar waktu Asar.

Sebelum itu, sempat bergambar-gambar di tebingan Sungai Sarawak. Tebingan Sungai Sarawak (Waterfront) pun banyak tempat menarik untuk dilawati. Tapi sudah tidak sempat.

tip melancong ke kuching sarawak

Di lain kesempatan, InShaAllah bila datang ke Kuching, Waterfront tebingan Sungai Serawak ini dulu yang akan diterokai. Terutamanya pada waktu malam. Kunjungan kali ini tidak sempat.

Di Little India Kuching, aku Cuma membeli sehelai Baju T. Wah, murah rupanya baju di sini berbanding di Pasar Serikin. Di Little India, Baju T yang sama hanya berharga sekitar RM15-20. Sedangkan di Pasar Serikin, harganya bermula dari RM20.

Sahabat yang lain, ada membeli apa yang menjadi sebut-sebutan di semenanjung berbanding yang lain…Gambir Sarawak!

gambir sarawak yang asli

Tidak teringat pula aku untuk mengambil gambar Gambir Sarawak yang dibeli sahabat yang lain.

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUCHING – LTAK

Dari Little India kami terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Letaknya 11km di selatan Bandaraya Kuching. Dibuka pada 1940, kini lapangan terbang ini mengendalikan 5 juta  penumpang setahun.

LTAK menjadi lapangan terbang ke4 sibuk selepas KLIA, LTA Kota Kinabalu dan LTA Pulau Pinang. LTAK boleh menampung pesawat udara Airbus A380 dan Boeing 747. Dan menjadi pengkalan udara bagi Tentera Udara DiRaja Malaysia – TUDM.

LTAK mempunyai pelbagai kedai jualan runcit dan bebas cukai, kafe dan restoran.

Penerbangan balik ke KLIA tertangguh sejam lebih sikit dari Jam9.20. Jadi kami duduk minum-minum di kafe berhadapan dengan surau. Seperti biasa, tuan rumah, Azmi Ashaari belanja.

Pagi tadi bersarapan Mee Kolok, malam ini sebelum balik ke semenanjung, cuba pula merasa Laksa Sarawak.

kedai makan sedap di lapangan terbang antarabangsa kuching

Ridhuan teruja mahu merasa Laksa Sarwak. Bagaimana agaknya rasa Laksa Sarawak yang Anthony Bourdain sifatkan sebagai  sarapan para dewa.

Memang sedap. Tidak sama langsung rasanya seperti di semenanjung. Betullah kata orang, kalau mahu merasa sedapnya makanan…pergi ke sumber makanan itu.

BALIK KE SEMENANJUNG

Sebelum masuk ke balai pelepasan, kami bergambar dulu. Memang tidak puas hati sangat bergambar malam dengan cahaya yang tidak cukup terang. Tapi cukuplah untuk buat kenangan.

Masa datang, aku duduk sebaris dengan Ali dan Shamsuddin. Masa balik pun bersama duduk. Masa datang ke Kucing, Ali dan Shamsuddin memberi peluang aku duduk tepi tingkap, sempena pertama kali naik kapal terbang. Masa balik ini aku duduk tengah.

cara beli tiket online

Pesawat Malindo Air selamat mendarat di KLIA Jam 12 lebih sikit.

Maka tamatlah reunion kali kedua ini.

Terima kasih kepada tuan rumah, Ustaz Azmi Ashaari kerana melayan sahabat-sahabat dengan layanan terbaik.

Pada pertemuan akan datang didoakan semua sahabat yag pernah belajar sekelas Thanawi di Kampung Sempadan, lanchang Pahang akan dapat berjumpa dan berkumpul semua.

reunion sahabat dunia akhirat di sarawak

 

 

 

 

Share

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge