Hobi dan kebiasaan yang kita buat selama ini amat membantu pada saat #StayAtHome ini

Rakyat Malaysia yang baik-baik semua.

Hobi dan kebiasaan yang kita buat selama ini amat membantu pada saat #StayAtHome ini:

Apa-apa pun cadangan di bawah ini Baca al Quran adalah yang paling utama. Macam solat, ia perkara utama jadi saya tidak masukkan baca al Quran dalam senarai.

1# Selama ini suka Membaca – Ini masa untuk mula membaca buku yang asyik dibeli tapi belum sempat baca lagi, atau habiskan bacaan buku yang belum tamat dibaca. Buku lama yang kita sudah lupa kandungan isinya, boleh juga diulang baca.

Bila ketua rumah suka membaca, pasti yang lain pun suka membaca juga.

Jadi bolehlah duduk membaca bersama pagi-pagi menjelang tenghari. Pada petang menunggu masuk Maghrib.

Boleh juga buat halaqah macam baca al Quran. Seorang baca yang lain dengar. Bila sudah letih, orang sebelah pula sambung baca.

2# Selama ini Lazim berzikir – Selepas solat boleh duduk lama sikit atas sejadah. Berwirid dan berselawat dengan bilangan yang sebanyak boleh.

Selepas subuh boleh lama lagi untuk habiskan Mathurat. Sambung dengan al Quran dan selawat. Selepas Maghrib pun boleh duduk lama sampai Isyak.

Lepas subuh tadi Mathurat, lepas Maghrib habiskan Manzil pula. Habis Manzil sambung ayat-ayat Syifa:

-at Taubah: 14

-Yunus: 57

-an Nahl: 69

-al Isra’: 82

-asy Syu’ara: 80

-Fussilat: 44

Selepas itu sambung dengan ayat-ayat Munjiyat:

-at Taubah: 51

-Yunus: 107

-Hud: 6

-Hud: 56

-al Ankabut: 60

-Fathir: 2

-az Zumar: 38

Selepas itu sambung dengan al Quran atau selawat sampai Isyak. Lepas Isyak pun boleh makan malam.

3# Sebelum ini pandai melukis / menulis khat – Siapa yang ada kemahiran seni ini tapi tangan sudah ‘berkarat’ kerana tidak digunakan, bolehlah lembutkan balik.

Conteng dengan pensil 2B dan pen sudahlah. Tidak  perlu warna bagai. Nanti satu kerja pula nak gantikan pensel warna anak sebab sang ayah dah habis guna. Duit lagi!

Hah… Sambil duduk tengok TV, lukislah gambar TV tu. Jambangan bunga sebelah TV pun boleh lukis. Lukislah apa pun.

Kertas lukisan tidak ada? Pakai kertas kosong A4. Pun tak ada? Tidak boleh hendak tolong. Pandai-pandailah. Jangan pakai buku kosong sekolah anak. Satu kerja nak gantikan nanti.

4# Ada kemahiran mengarang/menulis – Siapa yang ada kebolehan dalam ilmu karang mengarang ni, tulislah apa yang patut. Tulis yang baik-baik. Tulis yang positif. Kemudian naikkan di wall Facebook. Apa yang kita tulis itu, Insya-Allah memberi manfaat kepada yang membacanya.

Siapa yang ada blog, bolehlah masukkan artikel baru. Tidak pun, kemas kini artikel-artikel lama. Buang artikel lama yang tdak perlu atau update artikel dengan maklumat baru. Masa untuk ini pun sudah banyak boleh dihabiskan.

Selain itu, apa lagi yang boleh dibuat? Saya sebut 4 ini sahaja kerana ini yang ada dalam fikiran saya. Setiap orang ada hobi dan kemahiran dan kebiasaan tersendiri.

Habiskan masa kalian sepanjang #DudukRumah dengan aktiviti berfaedah yang kalian suka. Elak asyik duduk depan TV sambil mulut tidak berhenti mengunyah.

Ini masa yang sukar. Sama-sama kita bersabar. Kepada Allah kita serahkan segalanya.

Allah tuhan kami, hentikanlah wabak ini. Angkatlah wabak ini dari bumi bertuah Malaysia ini. Kami takut kami tidak mampu menghadapinya dengan baik. Allah tuhan kami, kepada Kau kami mohon pertolongan.

 

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge