Perhatikan 7 Tanda Ini Kalau Hendak Tahu Rezeki Berkat Atau Tidak

Setiap orang punya keinginan yang sama bila membabitkan soal rezeki.

Semuanya mahukan rezeki yang banyak! Banyaknya tidak terhitung. Kalau boleh banyak sampai melimpah ruah setiap hari.

Dalam  setiap doa kepada Allah, akan diselitkan dengan permintaan untuk diberikan rezeki. Mereka selalu mendokan rezeki yang banyak.

Sedangkan doa yang sepatutnya bukan meminta rezeki yang banyak tetapi umat Islam patut mendoakan agar diberi rezeki yang cukup!

Cukup untuk keperluan hidup.

Jadi tidak timbul soal banyak. Apa guna banyak kalau hanya disimpan tapi tidak dapat diguna. Biarlah sedikit asal dapat diguna sepanjang hidup.

Dan umat Islam patut mendoakan rezeki yang padanya ada berkat.

Bagaimana hendak tahu, rezeki yang kita dapat itu berkat atau tidak?

Periksa 7 perkara ini, ada atau tidak dalam kehidupan kita. Bila ada Alhamdulillah, itu tandanya rezeki yang kita perolehi ada berkatnya.

Bila tidak ada, cuba buat penilaian dan periksa sumber rezeki (pendapatan) kita setiap hari.

7 Tanda Rezeki Berkat.

1# Bersikap pemurah

Percaya, setiap rezeki yang dimiliki ada juga ‘hak’ orang lain di dalamnya. Sebab itu, mudah memberi sedekah walau harta tidak seberapa. Tidak terlintas dalam hati rasa sayang keterlaluan pada harta dan tidak menganggap yang harta akan berkurang bila dikeluarkan untuk sedekah.

2# Anak-anak mudah dididik dan dibentuk

Anak-anak yang dibesarkan hasil rezeki yang berkat akan mudah diasuh menjadi anak-anak yang taat kepada Allah dan cintakan rasul. Anak-anak tidak menimbulkan masalah banyak yang memeningkan ibu bapa. Dari kecil sampai besar, anak-anak menjadi penyejuk mata, penyaman jiwa.

3# Mudah berbuat amal

Peribadi dan jiwa yang ‘ditempa’ dengan rezeki yang halal dan berkat akan mudah melakukan amal kebaikan. Hati sentiada didorong untuk berbuat baik tanpa perlu disuruh-suruh.

Amalan wajib begitu mudah dibuat sementara amalan sunat begitu senang dilaksanakan. Anjuran-anjuran berbuat baik begitu mudah dan senang diikuti.

4# Mudah menghadapi kesusahan hidup

Hidup tidak selamanya berada di atas. Setiap orang pasti akan diuji dengan dugaan hidup. Itu sudah menjadi sunnatullah.

Bezanya ada orang yang tenggelam dalam keperitan hidup. Ada yang lain mudah bangkit memulakan kehidupan seterusnya.

Mereka yang diberkati rezekinya tetap diuji. Nabi dan rasul pun diuji kan? Inikan pula kita. Bezanya kesusahan hidup yang datang akan dihadapi dengan tenang dan mudah melepasinya.

Allah datangkan ujian dan Allah beri ‘idea’ untuk melepasi ujian itu.

5# Sentiasa rasa tenang

Hati atau jiwa yang sentiasa tenang adalah salah satu kenikmatan hidup. Lebih lagi bila hati tenang walau ujian hidup melanda.

Betapa ramai orang yang hidupnya gelisah walau kadang-kadang kesusahan yang menimpa tidaklah seberat mana.

Ketenangan yang paling tinggi darjatnya bila tenang ketika kembali kepada Allah.

6# Sentiasa merasa cukup dan bersyukur

Penghasilan yang didapati, baik setiap hari (bagi yang berniaga) atau setiap bulan (bagi yang makan gaji) akan disyukuri. Setiap jumlah akan dirasakan cukup.

Meski pun kelihatan sedikit jumlahnya, rezeki yang berkat akan terasa cukup untuk keperluan hidup.

7# Memiliki keluarga yang harmoni

Cuba kita lihat betapa banyak keluarga yang kelihatan serba tidak cukup. Tidak cukup dari segi harta dan wang ringgit, tetapi keluarga itu hidup aman damai.

Anak-anak tidak menyusahkan ibubapa dengan permintaan yang bermacam-macam. Pasangan suami isteri yang saling bantu membantu mendidik anak dan menyediakan keperluan hidup tanpa seorang pun merungut kepada pasangannya yang lain.

Begitulah 7 tanda yang boleh menjadi tanda aras, apakah rezeki (pendapatan berbentuk wang ringgit) yang kita dapat itu berkat atau tidak.

InShaAllah, kita semua sentiasa diberikan rezeki yang berkat.

Ingat tentang rezeki yang berkat ini…

Rezeki yang berkat… bila sedikit, cukup. Bila banyak, lebih meluas dapat diagihkan.

Rezeki tidak berkat… bila sedikit tidak cukup. Bila banyak masih tidak puas-puas.

Share

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge