Raya Yang Dahulu Bukanlah Raya Yang Sekarang

Kenangan raya anak-anak dahulu tidak dapat dinikmati anak-anak sekarang. Memang raya dahulu, meriahnya amat terasa. Tidak seperti raya sekarang. Tidak ada sesiapa dapat menafikannya.

Kenangan raya dahulu, tidak dapat tidak benar-benar mengocak jiwa sesiapa sahaja.

Dahulu kami ‘berperang’ sejak awal ramadhan lagi, geng mana yang paling kuat bunyi meriam buluhnya. Tiada siapa yang cedera atau mati kerana buluh pecah dan mencederakan.

Dan pada malam raya kami benar-benar ‘berperang’. Kami buat 2 kumpulan. Senjata kami ialah mercun lidi. Kami bukan tembak ke udara dan pilih bunyi mercun siapa yang paling kuat sebagai pemenangnya. Kami tembak pada ‘musuh’ macam permainan paintball. Tidak ada sesiapa yang cendera.

Permainan mercun yang dahulu bukanlah seperti permainan mercun yang sekarang. Dahulu menyeronokkan, sekarang mencelakakan. Di mana silapnya? Mercun yang dahulu, itulah juga mercun yang sekarang.

Esoknya kami beraya seluruh kampung. Kami panjat semua rumah yang kami kenal dari pagi sampai ke petang dan disambung ke besok hari bila tidak sempat habiskan pada raya pertama. Alhamdulillah bila dapat duit raya. Dan kami tidak mengutuk kalau tidak dapat. Kami tetap pergi ke rumah yang kami kenal tuan rumahnya walau kami tahu tidak akan dapat duit raya.

aybamall.yoshop.my( Selesai solat raya di Kg Luat, Lenggong Perak )

Anak-anak sekarang tidak akan beraya kalau tidak dibawa ibubapa. Beraya di rumah jiran sebelah rumah pun, kena dibawa ibubapa. Mereka lebih suka beraya di depan TV. Kalaupun beraya, mereka akan pilih rumah yang pasti akan dapat duit raya.

Masing-masing orang ada kenangan tersendiri pada hari raya waktu zaman kecil mereka. Zaman berubah dan suasana juga berubah. Raya dahulu tidaklah sama dengan raya sekarang. Raya sekarang pasti tidak akan sama dengan raya akan datang.

SELAMAT HARI RAYA saya ucapkan kepada pembaca blog ini. Terima kasih kerana berkunjung ke sini. Nota dalam blog ini akan dicatat seminggu selepas raya, In Sha Allah.

Share

11 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge