Rupanya Beli Buku Tapi Tidak Baca Ada Manfaatnya Juga

Ada tiga kedai buku yang kerap saya kunjungi.

Satunya Pustaka Pertama, kedai dalam Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Duanya Pustaka Mukmin, rumah kedai yang juga di jalan yang sama.

Tiganya Minerva Book Store, di sebelah bangunan GS Gill. Juga di Jalan T.A.Rahman.

Mulanya saya mencari buku di Pustaka Pertama. Jika tiada buku yang diingini, saya akan tempah buku dengan pekedai. Jika tidak boleh, barulah saya akan pergi kedai buku yang lain.

Saya mendapat harga yang bagus juga bila membeli di Pustaka Pertama. Sebab itu kedai ini menjadi pilihan yang didahulukan.

Sebenarnya, bukan hanya tiga kedai buku ini sahaja yang kerap saya kunjungi. Saya memang ‘bermasalah’ bila nampak kedai buku.

Saya tidak dapat menahan keinginan untuk masuk kedai buku setiap kali terjumpa kedai buku. Di mana-mana sahaja tempat yang saya pergi. Baik di dalam pusat membeli belah atau di rumah kedai.

Termasuk juga di kios-kios tepi dinding.

Bila sudah masuk timbul masalah lain pula. Rasa mahu membeli itu membuak-buak. Lebih lagi bila nampak buku menarik yang rasa-rasanya akan susah jumpa bila tidak beli sekarang.

Beli lah dan berniat mahu habiskan bacaan.

Dan inilah masalah ketiganya. Niat mahu membaca hanya tinggal niat sahaja.

Membeli buku tidak bertangguh. Tetapi membacanya, asyik bertangguh-tangguh. Tahap membaca tidak sepadan dengan kekerapan membeli buku.

Kalian menghadapi masalah yang sama?

Ada sejenis ketagihan kepada buku. Baunya seperti vanilla. Desain kulit buku yang dianggap seni tersendiri. Tajuk pendeknya yang merangkum maksud yang pelbagai. Ringkasan di belakang buku yang membayangkan isi buku yang padat. Memegangnya sahaja pun dapat memberikan ‘kuasa’ yang menyegarkan tubuh. Ada rasa ‘lazat’ buku yang tidak dapat digambarkan.

Itu yang ‘menarik’ saya kepada buku dan membelinya walau poket ketika itu sesak!

Tetapi membacanya sampai habis belum tentu. Itu yang membuatkan buku yang tidak dibaca sudah bertimbun.

Istilah khusus…himpunan buku yang tidak dibaca.

TSUNDOKU adalah istilah yang diberi orang Jepun tentang buku-buku yang dibeli dan disusun atas rak. Buku-buku ini belum dibaca. Maksudnya rak khusus untuk buku yang belum dibaca.

Kalian tahu atau tidak, istilahnya dalam Bahasa Melayu? Saya tidak tahu dan tidak pasti, ada atau tidak istilah Bahasa Melayu untuk perangai beli buku tapi tidak dibaca-baca.

ANTILIBRARY pula adalah istilah dalam bahasa Inggeris. Istilah ini dipopularkan oleh Nassim Nicholas Taleb, penulis dan ahli statistik.

Jangalah risau sangat kalau di rumah kalian ada rak buku yang boleh digelar Tsundoku atau Antilibrary ini. Sebenarnya ada manfaatnya juga.

Ada 2 manfaat besar adanya Tsundoku atau Antilibrary di rumah.

Manfaat #1 Kesan Positif Kepada Anak.

Anak-anak yang membesar dikelilingi buku akan menumbuhkan minat membaca dan cinta kepada ilmu dalam diri mereka.

Manfaat #2 Ingatan Untuk Tidak Sombong Dengan Kepandaian

Bagi mereka yang terasa pandai dan tahu banyak benda, tengoklah timbunan buku yang belum dibaca itu.

Itu bermakna, ada setimbun ilmu lagi yang tidak diketahui. Itu yang ada di rumah. Cuba bayangkan timbunan buku di perpustakaan, kedai buku, di rumah jiran. Dan buku di merata tempat sahaja.

Sesiapa pun perlu sedar, terlalu banyak maklumat dan pengetahuan yang kita masih JAHIL tentangnya.

Jangan sombong dengan kepandaian. Kalau merasa sudah banyak buku yang dibaca, ketahuilah ratusan kali lebih banyak buku yang belum dibaca.

Peringatan yang jelas!

Bila sudah tahu, masih ada manfaat himpunan buku yang tidak terbaca itu, janganlah sampai tidak dibaca langsung.

Terus membaca. Terus beli buku. Terus kumpul buku. Terus meneguk nikmat dari senaskhah buku.

> Miliki ebook panduan menulis content di Facebook <<

tips dan panduan menulis status di media sosial

tips menulis status di media sosial

Share

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge