Salam Hari Lahir Untuk Adik Kembar Hidayah Dan Fadhilah

9hb 4(April) adalah tarikh lahir adik kembar aku. Kedua-duanya perempuan. Umur ikut tahun 2019 ini sudah 31. Kedua-duanya sudah berkahwin. Masing-masing direzekikan 2 cahaya mata.

Ya…Rabb… Begitu cepat masa berlalu.

Salam hari lahir untuk si kakak Nor Hidayah Bahrom Azhar dan si adik Nor Fadhilah Bahrom Azhar. Bahagia hidup kedua mereka bersama keluarga hingga akhir usia dan sepanjang hidup berada dalam Rahmat dan Redha Allah.

Kami 12 beradik. 5 perempuan dan 7 lelaki. Seorang yang lelaki (anak ke 5) menghadap Allah dan tinggal kami 11 beradik. Adik kembar aku ini, anak ke  10 dan 11. Lelaki yang bongsu sekali.

Seperti kata orang yang tidak dapat dinafikan, keluarga kami ada gen kembar!

Selama ini aku kenal dan tahu adik beradik ibu cuma 5 orang. Ibu tunggal perempuan yang sulung. 4 adiknya lelaki. Ibu bernama Badariah, adik-adik ibu Nyah (#Pak Ngah) Tajuddin, Pak Lang Muhammad Termizi, Pak Tam Sapuri dan Pak Teh Ahmad Sakri.

Rupa-rupanya anak Opah Embun dan Tok Nordin ada 7 beradik. Selepas adik ibu Tajuddin, ada kembar sepasang. Si abang Mohd Fauzi dan si adik Norhayati.

Keduanya meninggal sebelum adik ibu Muhammad Termizi lahir. Jadi adik ibu Muhammad Termizi, Sapuri dan Ahmad Sakri tidak mengenal abang dan kakak kembar mereka ini.

Kata orang, anak kembar sepasang, lelaki dan perempuan selalunya tidak lama hidup. Yang lama hidup anak kembar bersama, lelaki dan lelaki atau perempuan dan perempuan.

Entah siapa yang keluarkan ‘fatwa’ ini, tidak tahulah. Hakikatnya, mati dan hidup kerja Tuhan. Allah punya kuasa. Nauzubillah, kepercayaan seperti itu boleh mencacatkan iman!

Opah Embun ada anak kembar. Menurun kepada anaknya Badariah yang ditakdirkan ada anak kembar juga. Jadi mungkin benar keluarga kami ada gen kembar bila anak sulung Badariah pun melahirkan anak kembar.

Kakak sulung kami Nazimah (Kak Imah) punya anak kembar. Dua kali kembar lagi!! Anak ke3 dan ke4, kembar perempuan. Yang bongsu anak ke6 dan ke7, kembar lelaki.

Kedua-dua anak kembar perempuan sudah berkahwin. Hanya itulah yang perempuan.

Kalau nanti anak kembar Kak Imah akan ada kembar juga (mereka berdua masih muda), atau mungkin adik kembar aku akan ada anak kembar juga (mereka berdua pun masih muda lagi) atau dua adik perempuan aku yang lainnya direzekikan Allah dapat anak kembar juga…

…mungkin generasi kembar ini sesuatu yang boleh kami banggakan dalam salasilah keluarga kami.

Mungkin kalian pembaca juga ada pengalaman tentang keluarga kembar. Bolehlah kongsikan pengalaman itu di sini….

# orang Perak Hulu, terutama di Lenggong dan gerik membahasakan Pak Ngah itu sebagai Nyah. Ini bukan ‘nyah’ lembut tau! Setiap keluarga berlainan dalam panggilan nyah ini. Kami membahasakan adik ibu kami sebagai Nyah Lelaki dan Nyah Perempuan.

 

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge